Pages

Monday 19 December 2011

[Review] Majlis Maulidur Rasul SAW & Haul Sultanul Auliya Sayyidi Syeikh Abdul Qadir Aj-Jaelani 2011




by Brado Kapak on Monday, 11 April 2011 at 21:52

Selamat Datang.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Setinggi-tinggi Syukur ku panjatkat ke Hadrat Illahi kerana dengan limpah KurniaNYA dapat lagi saya menghadiri Majlis Maulidur Rasul SAW & Haul Sultanul Auliya Sayyidi Syeikh Abdul Qadir Aj-Jaelani QS buat kali ke-2. Selawat dan Salam ke atas Insaan Kamil, Sayyidil Mursaleen, Rahmatan lil 'Alamiin, Thoyyibal Ardani, Sayyidina Wa Zukhrina Wa Maulana Muhammad SallAllahu 'Alaihi Wa Sallam. Al-Fatihah...

Maulana As-Syeikh Habib Afifuddeen Al-Jaelani, keturunan ke-34 Sayyidi Syeikh Abdul Qadir Aj-Jaelani dan juga Pengasas serta Penaung Al-Wariseen Trust. Merupakan Penasihat Darul Jaelani International dan penganjur Majlis Maulidur Rasul SAW & Haul Sultanul Auliya Sayyidi Syeikh Abdul Qadir Aj-Jaelani 2011


Alhamdulillah, majlis ini adalah majlis Maulidur Rasul dan Haul Akbar yang ke-3 dianjurkan oleh Yayasan Al-Wariseen dan Darul Jailani International. Majlis ini diadakan secara gilang-gemilang sekali setahun. Dua majlis terdahulu diadakan di Masjid Negara dan majlis kali ke-3 ini diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Presint 3, Prang Besar dgn kerjasama Majlis AJK Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Untuk pengetahuan, suatu masa dahulu Putrajaya dikenali dengan nama Prang Besar.

Kali ini saya hadir bersama Shimon Hatzaddik ke majlis ini. Kami sampai di Masjid Besi beberapa minit sebelum azan Asar dikumandangkan. 

Poster yang terpampang menyambut kedatangan kami.

Suasana Masjid Besi yang lengang sebelum majlis bermula.

Setelah solat Asar berjamaah, para hadirin dijemput untuk minum petang di tempat yang disediakan. Menunya adalah, karipap, kuih cakoi, kuih seri muka dan air teh o panas. Ketika sedang asyik memakan kuih, saya terfikir, bagaimana agaknya kalau berjumpa dgn Abang Merah Silu dan ahli FAB yang lain pada hari ini, pasti meriah rasanya. (tapi tak jumpa pun. rugiiii...)


Tepat jam 5.20, hadirin dijemput masuk semula ke ruang solat utama Masjid Besi kerana majlis akan bermula pada jam 5.30. Majlis dimulai dengan bacaan Al-Quran oleh seorang Qari dari Qatar (maaf saya lupa nama tuan Qari). Kemudian majlis diteruskan dengan persembahan oleh kumpulan Ahbabul Mustofa dari Singapura. Ahbabul Mustofa merupakan kumpulan nasyid yang ditubuhkan di Singapura dianggotai oleh Alumni pelajar Madrasah Al-Junied Al-Islamiyah, Singapura. Lagu mereka yang femes bertajuk, Doa Taubat. Boleh tengok kat sini: http://www.youtube.com/watch?v=LF4TRyHD30g

Ketibaan Syeikh Afifuddeen sekitar jam 5.40 petang.

Seterusnya majlis menjemput Dr Syeikh Afifi Al-Akiti untuk menyampaikan tausyiahnya. Dr Afifi merupakan satu-satunya bangsa Melayu yang menjadi pensyarah di Universiti Oxford. Dr menjadi pensyarah dalam bidang Teologi Perbandingan Agama. Dalam tausyiahnya (kata-kata/ucapan), Dr menegaskan kita supaya selalu mengingati Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW pada setiap masa. Dr juga mengajak para hadirin untuk sama-sama mengalunkan Qasidah Abdul Muttalib yang mana Qasidah ini sering dialunkan di Nusantara oleh ibu-ibu kita setiap kali sebelum membaca Maulid Barzanji dan Marhaban. Qasidah ini juga terkenal dengan nama Qasidah Solla 'Alaika Allah Ya Adnani, qasidah ini diriwayatkan oleh Imam Ibnu Katsir dalam Al-Bidayah Wa Nihayah serta turut diriwayatkan oleh Al-Imam Barzanji dalam kitabnya Maulid Wa Ad'iyah pada bab Maulid Syaraful Anam. Boleh dengar Qasidah ini disini: http://www.youtube.com/watch?v=ciDn1S2EUUo&feature=related

صلى عليك الله يا عدنان - يا مصطفى يا صفوة الرحمن - الحمد لله الذي أعطاني - هذا الغلام الطيب الأردان - قد ساد فى المهد على الغلمان - أعيذه بالبيت ذي الأركان - حتى أراه بالغ البنيان - أنت الذي سمية في القرآن - أحمد مكتوب على الجنان - صلى عليك الله في الأحيان - أحمده في السر والبرهان - حقا على الإسلام والإيمان - أحمده في السر والبرهان - حقا على الإسلام والإيمان - يا ربنا بالمصطفى العدنان - اغفر ذنوبي ثم أصلح شأني يا الل
(Qasidah Abdul Muttalib, fil Majmu'ah Maulid Wa Ad'iyah, Maulid Syaraful Anam, Kitab Barzanji m/s 21)

Al-Kisah, apabila Abdul Muttalib atuk kepada Baginda Rasulullah SAW mendapat berita tentang kelahiran Rasulullah SAW, maka dengan tersangat gembiranya, Abdul Muttalib telah mendukung Sayyidina Muhammad SAW yang pada ketika itu masih bayi seraya membawanya ke hadapan Ka'bah. Kemudian Abdul Muttalib telah bertawaf dihadapan Ka'bah sambil mengalunkan Qasidah seperti diatas, sambil bersamanya Sayyidina Muhammad SAW dalam gendungannya.

Dr Afifi Al-Akiti, pensyarah di Universiti Oxford.

Seterusnya majlis diteruskan dengan ceramah oleh Syeikh Ibrahim dari Australia. Isi kandungan ceramahnya adalah seperti berikut:

Saya hidup ditengah-tengah masyarakat barat yang pemikirannya berasaskan kepada materialiti. Pemikiran bertonggakkan material adalah suatu yang bercanggah dari fitrah manusia, ia akan terpisah drpd ruhnya. Jika kita hidup bertonggakkan material, ia adalah seakan-akan seekor burung yang terbang dengan satu sayap sahaja. Pasti akan jatuh dan terhempap ke bumi.

Ketahuilah majlis ini mempunyai sanad dan rantaian yang hidup tanpa putus yang bersambung kepada Rasulullah SAW. Ia bukan sekadar maulid, tetapi ia bersambung dari segi Ruh dan akhlaknya. Sayyidina Abu Hurairah RA pernah berkata kpd Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, aku pernah memuji para raja-raja maka aku dapati mereka bertambah kemuliaannya dan aku pula berkurang kemuliaannya. Akan tetapi, apabila aku memuji engkau, maka aku pula yang bertambah kemuliaannya."

Ketahuilah, kehidupan sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah suatu kehidupan yang gelap daripada cahaya Ruhani dan Akhlak. Sesungguhnya, kekuatan yang ada pada ketika itu sepi daripada kekuatan ruhani. Beruntunglah kita kerana dapat menjadi ummat Nabi SAW, hidup kita telah dipenuhi dari semua aspek termasuklah kekuatan Ruhani dan jasmani.
Habib Ali Zainal Abidin berbaju cokelat sedang menterjemahkan Ceramah yang disampaikan oleh Syeikh Ibrahim Australia yang berjubah putih. Kelihatan abang baju biru sedang busy tangkap gambar...

Begitulah serba sedikit ringkasan ucapan Syeikh Ibrahim yang telah diterjemahkan oleh Al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid. Seterusnya majlis diteruskan dgn persembahan Qasidah dari kumpulan Nasyid Indonesia dibawah pimpinan Syeikh Habib Hassan Al-Kaff. Seterusnya majlis diteruskan dengan ceramah oleh Dr Abdul Illah dari Iraq. Kemudian diserikan dengan bacaan Qasidah oleh seorang pemuda dari Makkah, maaf saya lupa nama beliau. Pemuda ni sepanjang majlis berlangsung, dia sebok tangkap gambar je, sekali tiba-tiba dia baca Qasidah, MasyaAllah sedap suara dia.

Suasana ketika petang hari. Kelihatan kumpulan Nasyid dari Pesantren Indonesia berbaju biru dihadapan sedang mempersembahkan Qasidah mereka dibawah pimpinan Habib Hasan Al-Kaff.

Habib Hasan Bin Muhammad Salim Al-Attas, Imam besar Masjid Ba'alawi, Singapura. Waris Ratib Al-Attas.

Ketibaan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi diiringi Syeikh Afifuddeen sekitar jam 6.40 petang. Tun merupakan tetamu VIP Khas dalam majlis kali ini. Kelihatan Tun sedang bersalaman dengan Habib Hasan Bin Muhammad Salim Al-Attas dari Singapura.

Kemudian majlis berhenti  seketika utk solat Maghrib bersama. Seusai solat, majlis diteruskan dengan sedikit kata-kata ucapan oleh Tun Hj Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Maulid Ad-Daiba'ie oleh Al-Habib Hassan Bin Muhammad Salim Al-Attas, Imam Besar Masjid Ba'alawi Singapura. Habib Hassan merupakan waris Ratib Al-Attas yang terkenal itu. Boleh tonton disini: http://www.youtube.com/watch?v=C2QbJKpzaoU&feature=player_embedded#at=52 (Kredit utk Pak cik Merah Silu)

Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid berjubah cokelat sedang menterjemahkan ucapan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi dari Bahasa Melayu ke Bahasa Arab.

Al-Alim Al-Imam Al-Habib Hasan Bin Muhammad Salim Al-Attas, Imam Besar Masjid Ba'alawi Singapura sedang memimpin bacaan Maulid Ad-Diba'ie. Habib Hasan merupakan pemimpin bacaan Maulid Diba'ie setiap kali majlis besar anjuran Al-Wariseen Trust diadakan.

Abang yang berbaju biru dan abang yang berserban kuning ni kameramen. Tak henti-henti tangkap gambar. Yang baju biru tu hensem.

Mahallah Qiyam. Dalam bulatan merah, berbaju cokelat adalah saya dan berbaju hitam, Abang Shimon Hatzaddik.

Para VIP sedang berdiri ketika Mahallah Qiyam, Maulid Diba'ie.

Abang yang berbadan besar berdiri dihadapan paling kiri, dialah orang yang sebok tangkap gambar sepanjang majlis. Tak reti duduk diam, tapi bila berQasidah dan Marhaban, MasyaAllah sedap beno. Apa rahsia bang? :D

Kemudian setelah selesai bacaan Maulid, majlis diteruskan dengan syarahan dan tausyiah oleh Al-Allamah Al-Habib Umar Bin Hamid Al-Jaelani. Habib menetap lama di Makkah, merupakan keturunan Syeikh Abdul Qadir Jaelani yang ke-33 kalau tak silap saya. Manakala Syeikh Afifuddeen Al-Jaelani pula merupakan keturunan Syeikh Abdul Qadir Jaelani yang ke-34.

Al-Allamah As-Syeikh Al-Habib Umar Bin Hamid Al-Jaelani dari Makkah Al-Mukarramah (kiri) bersama KH Asrori Al-Ishaqi dari Jakarta (kanan).

Berikut isi-isi penting daripada tausyiah yang disampaikan oleh Al-Allamah Al-Habib Umar Bin Hamid Al-Jaelani:Syukur ke Hadrat lahi yang tiada putus atas nikmat dapat menghadiri majlis seperti ini. Selawat dan Salam kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. Seterusnya Habib telah menegaskan kepada kita bahawa alangkah bertuahnya kita dapat menghadiri majlis ini, yang mana kita telah mengikuti cara-cara orang terdahulu. Yang mana tak lain tak bukan supaya kita mengambil ibrah (pengajaran) daripadanya.

Yang mana orang-orang terdahulu telah menerima hidayah, maka kita mesti mengikuti cara hidup mereka. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang mafhumnya; "Barangsiapa mahu mendirikan masjid, sekalipun kecil, nescaya Allah akan membalas dengan istana yang besar di Syurga kelak." Ketahuilah bahawa tempat yang akan kita tempati adalah rumah yang indah, dengan kesempatan ini kita bersyukur kerana dapat menghadiri majlis ini yang diwarisi turun temurun dari para Solehin terdahulu yang semuanya telah mendapat Hidayah dan petunjuk drpd Allah SWT.

Seorang murid kepada Sultanul Auliya Syeikh Abdul Qadir Jaelani pernah berkata; "Kalau kita (Syeikh Abdul Qadir Jaelani) memberi sesuatu keterangan atau kata-kata hikmat, dan jika kita hendak memberi syarahan tentang keterangan dan kata-kata hikmat itu nescaya ia akan menjadi sebuah kitab besar."

Telah berkata Syeikh Abdul Qadir Jaelani; "Hendaklah kamu selalu-selalu bersama-sama yang HAQ sehingga tidak ada lagi orang dihadapanmu. Hiduplah kamu dikalangan/ditengah-tengah manusia, sedangkan kamu tidak mempunyai nafsu lagi terhadap mereka (kebendaan dan manusiawi)." (ini merupakan antara kata-kata hikmat yang sangat mendalam maksudnya yg pernah diucapkan oleh Syeikh Abdul Qadir Jaelani).

Sesungguhnya manusia hari ini telah berpecah-pecah kerana telah keluar dari garis-garis yang digariskan oleh para Muhsinin yang berlandaskan garis-garis Rasulullah SAW. Syeikh Abdul Qadir Jaelani juga pernah berkata; "WALLAHI, kalau aku memiliki kedudukan disisi ALLAH SWT, nescaya aku akan memberi bantuan kepada seluruh ummat Muhammad dari awal hingga akhir." Betapa kasihnya Syeikh Abdul Qadir Jaelani sehingga dia berkata seperti itu. Apatah lagi Junjungan Besar SAW kita, yang ketika hendak wafat pun masih teringat akan ummatnya.

Bahawa kita ummat Nabi Muhammad SAW adalah ummat yang  satu, bukan 2 atau 3. Yang ada adalah ummat Muhammad SAW. Di dalam Al-Qur'an sudah djelaskan bahawa kita adalah ummat yang satu, dan dalam ayat yang lain ditegaskan bahawa "Sesungguhnya manusia itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara saudara-saudara mu." Disebutkan disini, saudara-saudara mu, bukan saudara mu. Ini bererti, seluruh ummat Islam adalah bersaudara.

Hadis Rasulullah SAW mafhumnya; "Seorang muslim seorang saudaranya adalah muslim." Hadis lain pula menyebut; "Hubungan sesama muslim, darahnya adalah haram." Kita hari ini telah jauh dari apa yg digariskan oleh Rasulullah SAW, sehingga kita menjadi seperti sekarang (memfitnah, mencaci, berbuat maksiat, berbunuh-bunuhan dan macam-macam lagi yang telah menjadi kebiasaan manusia akhir zaman ini), dan kita tak akan dapat merdeka daripada itu sehingga kita kembali kepada jejak-jejak orang-orang yang telah diberi petunjuk seperti yang digariskan oleh Rasulullah SAW.

Sebuah Hadis Rasulullah SAW ada menyebut; "Ikutilah orang yang telah diberi petunjuk." Semoga ALLAH SWT menyelamatkan ummat Islam tidak kira dimana sahaja berada. Tidak kita keluar dari masjid ini kecuali kita menanamkan sesama kita adalah saudara.

Kemudian Habib Umar mengakhiri tausyiahnya dengan bacaan doa untuk memohon keamanan bagi ummat Islam di Timur Tengah seperti yang dipinta oleh Tun Abdullah Badawi. Kemudian Habib Umar juga mendoakan ummat Islam di Nusantara ini agar bersatu. Kemudian didoakan juga agar seluruh warga Melayu ini bersatu dan bersama-sama menjadi ummatan wahidah (ummat yang satu) supaya kegemilangan Islam itu dapat dikembalikan. Habib juga mendoakan semua hadirin agar terjalin ukhuwah yang kukuh dikalangan para hadirin. Kemudian Habib Umar menutup tausyiahnya dengan selawat ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW.

Para hadirin khusyuk mengaminkan doa yang dibacakan oleh Habib Umar Bin Hamid.

Begitulah serba ringkas apa yang disampaikan oleh Habib Umar dalam Bahasa Arab dan telah diterjemahkan oleh seorang Habib dari Indonesia (maaf sekali lagi saya lupa nama penterjemahnya). Kemudian majlis diteruskan dengan acara kemuncak iaitu tausyiah ringkas oleh Syeikh Afifuddeen Al-Jaelani, Pengasas dan Penaung Al-Wareseen Trust dan Penasihat dan Penaung Darul Jaelani International.

Dalam tausyiahnya yang serba ringkas dan berbahasa Inggeris itu, Syeikh Afifuddeen telah menceritakan tentang beberapa Hadis Nabi SAW, kemuliaan para Sahabat, para Solehin terdahulu, Syeikh Abdul Qadir Jaelani dan kisah kewafatan Rasulullah SAW (boleh baca disini: http://bradokapak.blogspot.com/2011/02/kisah-cinta-teragung_15.html). Kemudian Syeikh Afifuddeen membacakan doa penutup majlis lalu melaungkan Iqamah dan solat Isyak berjemaah diimamkan oleh seorang Mufti dari Iraq (maaf, saya lupa namanya).

Maulana As-Syeikh Habib Afifuddeen Al-Jaelani sedang membaca doa.

Setelah selesai solat Isyak beramai-ramai, sesi bersalaman bersama para Masyaikh pun berlangsung. Para hadirin berebut-rebut untuk bersalaman dengan Tuan-tuan Syeikh yang hadir. Saya dan Shimon Hatzaddik pun tidak melepaskan peluang ini untuk bersalaman dgn para tuan-tuan Syeikh yang ada. Kemudian para hadirin dijemput untuk menikmati hidangan yang telah disediakan. Menu makan malam adalah Nasi Beriani berlaukkan ayam masak merah, sayur arca dan kari kambing. Air sirap pula disediakan sebagai penghilang dahaga untuk para hadirin.

Gambar suasana tempat makan ditangkap dari jauh. Kelihatan meja merah, diatasnya terdapat air sirap.

Setelah kenyang menjamu selera (Alhamdulillah), saya dan Shimon Hatzaddik pun pulang ke rumah lebih kurang pada jam 11.30 malam. Kami mengambil jalan menghala Kajang dan keluar di Cheras kemudian terus ke Gombak. Sekitar jam 12.30 kami tiba di Gombak. Alhamdulillah, memang best majlis ni. Betapa terujanya Shimon Hatzaddik yang pertama kali menghadiri majlis seperti ini, tidak dapat digambarkan. Menitis air mata beliau ketika mengalunkan Qasidah Abdul Muttalib dan tersentuh jiwa beliau ketika mengaminkan doa yang dibacakan oleh Habib Umar bin Hamid.

Begitulah secara ringkas keseluruhan majlis yang telah berlangsung dengan gilang gemilang di Masjid Besi, Putrajaya pada hari Sabtu malam Ahad bersamaan 9 April 2011 yang lalu. Kehadiran yang dicatatkan adalah sekitar 5000 orang dari serata pelusuk dunia. Ada yang hadir berkereta, bermotor, menaiki bas, datang dgn kapal terbang, tumpang kawan (saya), dan tak lupa juga mereka yang diberi Kurnia oleh ALLAH SWT untuk datang dengan kerlipan mata sahaja.

Disini saya paparkan beberapa koleksi gambar yang saya ambil dari rakan-rakan:

Dr Afifi Al-Akiti bersama Syeikh Afifuddeen Al-Jaelani beberapa hari sebelum majlis.

Dari Kanan, Mufti Iraq yang menjadi Imam Solat Isyak, Syeikh Afifuddeen Jaelani, Tun Hj Abdullah Hj Ahmad Badawi, Habib Hasan Al-Attas dan Penterjemah Ceramah Habib Umar Bin Hamid yang datang khas dari Indonesia.

Seorang Ulama' Alim dari Indonesia bersama Syeikh Afifuddeen. Saya sering terlupa nama Tuan Guru ni, padahal setiap kali ada majlis Maulid besar-besaran, mesti jumpa dengan dia.

Gambar suasana Masjid ketika Mahallah Qiyam.


Berjubah hitam adalah Syeikh Afifuddeen dan berjubah hijau berkaca mata adalah Dr Afifi Al-Akiti.

Paling kanan, Dr Syeikh Usman El-Muhammadi, berkaca mata hitam Habib Umar Bin Hamid, berkaca mata putih Habib Hasan Bin Muhammad Salim Al-Attas.

Syeikh Afifuddeen bersama seorang Syeikh dari Makkah. Syeikh ni pandai berQasidah dan Marhaban, sedap suara dia. Tiap-tiap tahun dia mesti ada dalam majlis ni. Maaf, lupa namanya.

Syeikh berjubah putih ni pun sedap bila baca Qasidah dan Marhaban.

Beruntung bagi mereka yang dapat mendudukkan diri didalam majlis Mulia seperti ini. Buat kalian yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis ini, berbahagialah kerana anda masih berpeluang menatap keindahan majlis ini melalui tulisan saya. InsyaAllah, kalau ada lagi majlis seperti ini dimasa akan datang, jangan lupa untuk meramaikan majlis. Kita datang ajak keluarga, kawan-kawan, jiran-jiran dan semua kenalan kita. Bersama kita menuju ke arah Mahabbah Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, sangatlah besar pahala bagi orang yang menghidupkan sunnah dizaman fitnah (zaman kita skrg lah). Apatah lagi menyambut dan memuliakan kelahiran Rasulullah SAW, sudah pasti tersangat besar pahalanya. Berbahagialah orang yang tidak henti-henti menyambut kelahiran Baginda, bukan sambut hanya pada 12 Rabiul Awal sahaja, tetapi sambut bila-bila pun boleh. 24 jam tanpa henti pun boleh (berselawat bnyk-bnyk spnjng masa pun dikira menyambut Rasulullah SAW). Semoga kita tergolong diantara ummat Nabi Muhammad SAW yang Muttaqeen serta mendapat Syafaat Rasulullah SAW dihari yang tiada lagi syafaat kecuali dari Rasulullah SAW, Al-Qur'an dan drpd Allah SWT.

Poster besar.

Sekalung penghargaan buat:

1. Pihak Al-Wariseen Trust yang sudi menganjurkan majlis Mulia ini.
2. Pihak AJK Masjid Besi, Putrajaya yang sudi memberi ruang majlis ini diadakan di Putrajaya.
3. Abang Farid Shimon Hatzaddik yang sudi menumpangkan saya dan membayar tol PLUS.
4. Pak cik Merah Silu dan Abang Syed Syahmir Hashim Al-Qudsi yang sudi menyumbangkan gambar dan video Maulid (maaf pakcik dan abang Syed, saya copypaste tak minta izin. hehe...)
5. Darul Jaelani International dan Darul Murtadza yang sudi memberi beberapa keping gambar utk dipostkan disini.
6. Joe Deris yang tak putus-putus menyuruh saya menulis review ini.
7. Pn Lily Hasyim yang tak henti-henti promosikan majlis ini dalam FAB.
8. Zukhairi Lala yang tak henti-henti bertanya tentang majlis ini.
9. Pihak TV Al-Hijrah yang sudi merakam majlis dan merencana untuk menayangkannya di TV Al-Hijrah sedikit masa lagi.
10. Abe Aiz, Sdr Hailmy Ghazali, Pakcik Megat Komeng, Tuan Guru Matlago, Tuan Guru Md Radzif, warga FAB, warga Sidang Mergastua, warga Mampir dan semua yang menyokong usaha ini.
11. Seluruh yang hadir dalam majlis ini serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis yang Mulia ini.

Dan tidak lupa juga kepada seluruh ummat Islam yang tidak henti-henti menyambut Maulid, Haul dan sentiasa berselawat ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW. Semoga kita semua tergolong dikalangan ummat yang mendapat syafaat Baginda Rasulullah SAW di hari penghisaban kelak. Amiin...

Terima Kasih kerana sudi membaca catatan saya. Pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas. hehe... :D

Allahu A'lam.
Sekian.
'bradokapak'

No comments:

Post a Comment