Pages

Tuesday 4 January 2011

TAZKIRAH (BENARKAH SYAITAN DIIKAT PADA BULAN RAMADHAN)

by Hasrizal Hasan on Friday, 13 August 2010 at 14:03
 
 
              Kita sering mendengar penceramah-penceramah mengutarakan tentang hadis nabi yang menyebut tentang syaitan diikat dan dibelenggu pada bulan Ramadhan.  Kadang-kadang timbul kekeliruan terutama bagi orang awam, sekiranya syaitan diikat pada bulan Ramadhan, kenapa pada bulan Ramadhan masih ada orang yang dirasuki Syaitan?  Penulis akan cuba merungkaikan persoalan ini mengikut pandangan ulama'-ulama' yang muktabar.
             Hadis yang dimaksudkan adalah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Sabda Rasulullah s.a.w. : "Apabila datangnya bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan".  Sebahagian ulama' berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup adalah majaz iaitu suatu bahasa kiasan tentang betapa besar dan banyaknya rahmat dan keampunan Allah s.w.t. terhadap hambanya pada bulan Ramadhan . Seolah-olah hamba yang merebut peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amal kebajikan telah sedia memasuki Syurga. Manakala mereka berpuasa dengan mengengkang nafsu syahawat dan meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan telah dapat menghindarkan diri daripada api neraka. Hal ini digambarkan dengan ungkapan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Walaupun pada hakikatnya belum sampai masanya mereka memasuki syurga kerana  syurga dan neraka ini adalah pembalasan terhadap hamba-hamba  pada hari Akhirat.  Sebahagian ulama' pula berpegang dengan zahir nas dengan mengatakan memang pada hakikatnya pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup pada bulan Ramadhan. Pada pandangan penulis kedua-dua pandangan ini adalah benar dan ada asasnya dan tiada halangan untuk mengabungkan kedua-dua pandangan ini.
           Berbalik kepada persoalan syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan, sebenarnya ulama'-ulama' islam telah memberi beberapa pandangan. Sebahagian ulama' berpegang dengan zahir nas dengan mengatakan memang pada hakikatnya syaitan dibelenggu. Mereka mengambil sikap berdiam diri (tawaquf) terhadap persoalan berlakunya kerasukan syaitan pada bulan Ramadhan. Sebahagian ulama' pula mentakwilkan ungkapan syaitan dibelenggu dengan makna majaz iaitu bahasa kiasan bukannya hakikat. Ia mengambarkan kesulitan syaitan untuk mengoda dan menganggu anak adam dalam keadaan mereka berpuasa seolah-olah syaitan dibelenggu pada bulan tersebut.  Hal ini dapat difahami melalui hadis nabi "Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam tubuh anak adam seperti darah mengalir, maka sempitkanlah aliran tersebut dengan berlapar (puasa).
Pandangan ketiga mengatakan bahawa memang benar syaitan dibelenggu, namun bukan semuanya. Syaitan yang kuat-kuat sahaja yang dibelenggu dikalangan ketua-ketua mereka. Ini berdasarkan riwayat yang lain yang menggunakan lafaz "maradatul Syayatin" atau "maradatul Jin" yang bermaksud syaitan-syaitan yang kuat . Pandangan ini telah dipersetujui oleh Syeikh Wahid Abdul Salam Bali dalam kitabnya "Wiqayatul Insan Minal Jin Wassyayatin". Penulis lebih cenderung kepada pendapat ini. Pendapat ini sekaligus menjawab persoalan berlakunya kerasukan syaitan didalam bulan Ramadhan dimana syaitan-syaitan yang merasuk tersebut adalah syaitan-syaitan kecil.
            Pada pengalaman penulis, penulis pernah merawat orang yang dirasuki syaitan di dalam bulan ramadhan sehingga berlakunya dialog diantara penulis dan syaitan yang merasuk melalui perantaraan lidah pesakit. Didalam dialog tersebut penulis telah bertanyakan tentang syaitan dibelenggu dan ternyata syaitan yang merasuk tubuh persakit mengakui ketua-ketua mereka ada yang dibelenggu. Wallahu a'alam...

(Artikel penulis ini telah diterbitkan dalam Buletin Surau Ibnu Sina, Pusat Perubatan UKM, keluaran ke-28 pada Jumaat 13 Ogos 2010 )

No comments:

Post a Comment