Pages

Tuesday 5 April 2011

Selama-lamanya.. ( Muhasabah )


scrawled by Abu Hanifah on t' date o' Day o' the Moon, Decembarrrr 20, 2010 roundabouts 1:29 in the evenin'
 
 
Sini bukan selama-lamanya. Sini akan hancur. Maka sebelum hancur, kita lakukan apa? ~

Perkataan ’selama-lamanya’ secara praktisnya tidak wujud di dalam dunia yang sedang kita jalani kehidupan di dalamnya ketika ini.

‘Selama-lamanya’ hanya wujud secara praktis di satu alam bernama Akhirat. Atau nama arabnya: Daarul Khulud, yakni ‘Rumah Abadi’.

Bagi yang tidak beriman dengan akhirat, mungkin ini bukanlah satu fakta yang menarik.

Tetapi saya suka mengajak yang beriman kepada Allah SWT, yang pastinya akan beriman dengan akhirat juga, untuk melihat kembali kepada satu realiti yang sering kita lupa.

Itulah dia realiti ’selama-lamanya’.

Perbandingan ’selama-lamanya’ dengan yang bukan selama-lamanya

Saya ada membeli dua batang pembaris. Satu pembaris yang boleh mengukur 80 tahun. Satu lagi pembaris adalah pembaris istimewa yang mampu mengukur ’selama-lamanya’.

Maka saya letakkan pembaris istimewa itu di atas pembaris 80 tahun.

Tetapi oleh kerana pembaris istimewa itu mengukur ’selama-lamanya’, maka ia terus bergerak memanjangkan dirinya. Memanjang dan terus memanjang. Memanjang dan terus memanjang. Memanjang dan terus memanjang. Tanpa henti.
Oleh kerana ia terus memanjang tanpa henti, maka pembaris 80 tahun tadi panjangnya menjadi semakin pendek.

Semakin lama semakin pendek. Semakin lama semakin pendek. Semakin lama semakin pendek.

Oleh kerana pembaris istimewa tadi mengukur ’selama-lamanya’, dia tidak berhenti. Terus memanjang. Memanjang dan memanjang. Memanjang dan terus memanjang.

Manakala pembaris 80 tahun tadi, semakin pendek dan terus menjadi semakin pendek apabila dibandingkan dengan pembaris istimewa yang terus memanjang.

Akhirnya, 80 tahun tadi jadi tersangat-sangat pendek hingga seakan-akan tidak wujud.

Dan pembaris istimewa terus memanjang dan memanjang lagi.

Tanpa henti.

Itulah dia selama-lamanya.

Jika hendak dibandingkan dengan yang bukan selama-lamanya.


Hidup kita bukan selama-lamanya

Manusia akan mati. Berapa panjang nyawanya? Zaman sekarang, secara generalnya adalah bawah 100 tahun. Orang kata, kalau sampai umur 80 pun sudah kira bernasib baik. Dan ramai pula yang mati lebih awal dari umur 60 tahun kerana pelbagai sebab.

Maka apakah harga kehidupan kita? Sebentar tadi kita dapat ‘menggambarkan’ perbandingan 80 tahun dengan selama-lamanya. Betapa pendeknya 80 tahun. Betapa sekejapnya 80 tahun. Apabila kita bandingkan dengan selama-lamanya. Walaupun saat kita menjalani 80 tahun, kita terasa lama, nanti apabila kita melalui selama-lamanya, barulah sebenarnya kita akan memahami makna ‘lama, panjang’ yang sebenar.

Kita amat arif bahawa akhirat hanya ada dua pengakhiran.

Neraka atau syurga.

Maka tempat manakah yang kita usahakan, untuk selama-lamanya berada di dalamnya?


Gadaian yang hakikatnya sangat berbaloi

Melihat pendeknya lapan puluh tahun, dengan panjangnya ’selama-lamanya’, kita akan melihat bahawa ‘menggadai’ kehidupan kita di dunia dengan mengisinya dengan kebaikan, dengan perkara yang bermanfaat, dengan mempertingkatkan diri, adalah satu gadaian yang berbaloi.

Dengan kependekan waktu yang ada pada kita, kita diberikan kebahagiaan yang selama-lamanya.

Tidakkah kita memerhatikan betapa pengasihnya Allah SWT?

Tetapi adalah kita ini tergolong dari kalangan orang yang bodoh, apabila kita menggunakan kependekan 80 tahun tadi untuk perkara yang buruk, keseronokan nafsu, keingkaran dan maksiat, untuk ‘membeli’ kesengsaraan yang panjangnya selama-lamanya.

Tidakkah ini satu kebodohan? Tidak berbaloi bukan?

Maka apa yang kita hendak lakukan dalam bukan selama-lamanya ini?

Maka di sini terbentang pilihan.

Kita hendak lakukan apa dalam ‘kependekan’ ini?

Dalam ‘kesebentaran’ ini, kita hendak isi dengan apa?

Satu waktu yang ’selama-lamanya’ menanti kita dengan dua pengakhiran.

Maka yang mana satukah bentuk ’selama-lamanya’ yang kita usaha untuk mendapatkan?

Di sini terbentang pilihan.

Yang memilih untuk mendapat kebaikan akan mendapat kebaikan. Yang memilih keburukan akan mendapat keburukan.

Semoga Allah membantu kita dalam menjadi hambaNya yang beriman.

Hilal Asyraf

http://ms.langitilahi.com/

No comments:

Post a Comment