Pages

Thursday 10 March 2011

Persoalan dan Jawapan Menurut Islam (2).


by Remaja Islam Malaysia on Sunday, 31 October 2010 at 18:21
 
 
Adakah menutup muka untuk para wanita Islam sesuatu yang wajib?
 Ulama berselisih pendapat tentang hukum menutup muka bagi wanita. Sebahagian dari mereka menyatakan bahawa wajib menutup muka bagi kaum wanita kerana itu adalah sebahagian dari auratnya. Mereka berlandaskan kepada ayat Al-Quran dalam surah Al-Ahzab, ayat 59, yang memerintahkan wanita Islam agar melabuhkan jilbab mereka. Penafsiran mereka adalah melabuhkan sehingga menutup keseluruhan anggota badan wanita, termasuk muka. Malah, ada yang berpendapat bahawa mata wanita juga tidak boleh dilihat oleh lelaki yang bukan mahram kerana mata wanita juga boleh menjadi daya tarikan.

Pendapat golongan yang lain pula adalah menutup muka tidak wajib. Ini adalah kerana ada nas-nas hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat kenal wanita yang datang berjumpa dengan mereka dari wajah mereka, menunjukkan bahawa memakai niqab (pakaian menutup muka) tidaklah wajib pada zaman Rasulullah s.a.w. Malah, mengikut pendapat sebahagian dari ulama Mazhab Hanbali, lengan tangan dan tapak kaki bukanlah aurat kerana ia diperlukan untuk bekerja.

Walau apapun pendapat yang dipegang oleh para ulama, yang mereka sepakati adalah memakai niqab bukanlah satu yang haram, kecuali jika ia membawa bahaya dan mudarat kepada pemakainya

Benarkah wanita digalakkan memakai pakaian yang berwarna gelap dan pucat sahaja?
 Islam telah menetapkan bahawa pakaian Muslimah perlulah menutup auratnya. Dan jumhur ulama bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan apa yang dibawah pergelangan tangan. Maka, selagi mana pakaian yang dipakai tersebut menutup aurat, tidak ketat dan tidak jarang, maka ia adalah harus dipakai oleh orang Islam.

Namun, Islam juga melarang wanita dari menarik pandangan lelaki yang ajnabi kepadanya. Jika dengan pakaian yang berwarna terang, atau berfesyen ganjil yang menarik pandangan lelaki kepadanya, maka tidak harus baginya memakainya. Jika tidak, maka harus baginya memakainya.

Bolehkah para wanita menziarahi kubur?
Menziarahi kubur boleh mengingatkan kita akan kematian dan hari akhirat. Malahan, anjuran tersebut telah disebutkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam sebuah hadisnya. Anjuran tersebut umum bagi lelaki dan wanita.

Oleh itu, tiada salah bagi wanita untuk menziarahi kubur jika ia dapat mencapai objektif tersebut selagimana wanita itu dapat menjaga adab dan etika sewaktu di tanah perkuburan.

Adakah seorang muslimah dibolehkan membuat "rebonding/straightening" kepada rambutnya?
 Harus bagi wanita untuk memotong atau meluruskan rambutnya, dengan syarat dia telah meminta izin dari suaminya terdahulu. Yang dilarang adalah memotong rambut sehingga menyerupai lelaki, membotakkan kepala bukan atas sebab kesihatan, dan menyambung rambutnya sehingga menjadi panjang.

Apakah hukum menanggalkan bulu kening wanita?
 Menanggalkan atau mencabut atau mencukur bulu kening wanita adalah HARAM di sisi Islam. Hukum ini diambil dari Hadith yang telah diriwayatkan Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Allah s.w.t telah melaknat mereka yang bertatu, mereka yang membuat tatu untuk orang lain, mereka yang mencabut bulu keningnya dan mereka yang mengasah gigi untuk tujuan kecantikan. Ini adalah mereka yang mengubah ciptaan Allah s.w.t.

Wanita Islam harus biarkan bulu keningnya dalam rupanya yang semulajadi melainkan jika ia terlalu hodoh sehinggakan mengaibkan. Dalam hal ini, dibenarkan mencabut bulu kening agar ia tidak mengaibkan.

Benarkah seorang wanita dilarang memakai gelang kaki?
 Wanita Islam dibenarkan memakai gelang kaki. Walau bagaimanapun, jika ia mempunyai loceng, maka ia tidak dibenarkan kerana ia akan membawa bunyian yang akan menyebabkan orang lain mengalih perhatian kepadanya.

Apakah hukumnya menziarahi orang sakit?
Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan silatul rahim sesama Islam. Amalan ziarah di kalangan orang-orang Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar dalam masa sakit sahaja. Amalan ziarah ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap kaum keluarga, yang tua, bujang dan lain-lain. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana yang disarankan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggal mu di dalam syurga.(Riwayat at-Tirmizi)

Apa hukumnya pergaulan yang bukan fizikal seperti melalui internet antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram?
 Tiada salahnya pergaulan antara lelaki dan wanita melalui internet asalkan mereka dapat menjaga adab dan etika sepanjang perbualan. Perbualan tersebut haruslah yang bermanfaat dan bersebab seperti ; mesyuarat perniagaan secara online, kerja sekolah, perbincangan akan isu-isu semasa dan sebagainya.

Hendaklah juga tidak berlarutan sehingga mengabaikan kewajipan agama seperti solat, kerja sekolah, menjaga anak dan sebagainya.

Apa hukumnya memakan daging binatang yang bertaring?
 Binatang yang halal untuk dimakan adalah binatang yang TIDAK mempunyai taring yang digunakan untuk memburu dan memakan binatang lain.

Rasulullah S.A.W melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas dan setiap yang berkuku (claw) dari burung. (Riwayat Muslim)

Apakah hukum memakan haiwan yang hidup di dua alam?
 Haiwan yang dianggap hidup di dua alam, iaitu laut dan darat, adalah yang dipanggil amfibia. Dan amfibia ada 3 jenis; keluarga katak, ceacillian dan salamander. Haiwan-haiwan ini adalah haram menurut mazhab Syafii.

Adapun sesetengah pihak menganggap ketam sebagai jenis haiwan yang hidup di 2 alam, tetapi tanggapan ini adalah salah kerana ketam adalah haiwan akuatik dan semua haiwan akuatik adalah halal.

Mengapakah orang Islam tidak dibenarkan memakan haiwan jenis reptilia?
 Menurut hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: "Ular, kala jengking, tikus dan burung gagak adalah haiwan yang keji." Ulama telah membuat kesimpulan dari hadith ini bahawa semua jenis reptilia, termasuk yang dari keluarga ular, adalah haram. Sebab-sebab disebaliknya masih belum ditemui.

Sebagai orang Islam, kita harus percaya dan akur yang bahawasanya segala perintah dan larangan dari Allah s.w.t ada hikmah disebaliknya. Dan kita juga wajib percaya bahawa setiap perintah dan tegahan dari Allah s.w.t adalah untuk kebaikan diri kita jua. Allah lebih mengetahui tentang diri kita dari kita sendiri. Ilmu yang kita ada terlalu sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah, seperti setitik air dari lautan seluruh dunia ini dan lebih dari itu. Dan setitik air itu juga datangnya dari Allah.

Maka, dalam kita menjalankan kehidupan sebagai Muslim, setiap perintah dan larangan Allah kita kerjakan tanpa syak dan wasangka. Kita digalak untuk mengkaji, jika boleh, sebab-sebab terhadap perintah dan larangan tersebut. Tetapi kita tidak boleh sama sekali mempunyai keinginan untuk taat kepada perintah Allah hanya selepas mengetahui sebab terhadap perintah tersebut. Kerana kita mungkin selama-lamanya tidak akan mengetahui sebab disebalik sesuatu perintah Allah.

No comments:

Post a Comment