Pages

Monday 26 September 2011

Cabaran Menunggu Pendakwah


Cabaran Menunggu Pendakwah

by Pertubuhan IKRAM Malaysia on Tuesday, 08 February 2011 at 08:24
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Jalan dakwah tidak ditaburi oleh bunga-bunga yang harum, tetapi ia merupakan jalan yang :

a.       Sukar.
b.      Panjang.
c.       Penuh onak dan duri.

Ini adalah kerana antara yang haq’ dan yang batil’ ada pertentangan yang nyata.

Dakwah memerlukan :

1.      Kemurahan hati.
2.      Pemberian tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari manusia.
3.      Pengorbanan tanpa mengimpikan hasil yang segera.
4.      Kesungguhan tanpa putus asa.
5.      Keyakinan yang teguh tanpa putus harapan.

Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus dan hasilnya terserah kepada Allah sesuai dengan waktu yang dikehendakiNya.

Mungkin seseorang pendakwah itu tidak akan melihat hasil dakwah serta buahnya di dalam kehidupan dunia kerana sememangnya fungsi dan sekaligus tugas mereka sebagai manusia yang dipilih oleh Allah untuk berdakwah hanyalah :

a.       Beramal.
b.      Berusaha.

DAKWAH SENTIASA BERTEMU DENGAN MUSUH UTAMANYA

Sebaliknya para pendakwah di jalan Allah akan menemui berbagai gangguan dan penyiksaan dari golongan thaghut’ (yang menyimpang dan melampaui batas) dan musuh-musuh Allah yang akan :

1.      Menghapuskan mereka.
2.      Memusnahkan dakwah mereka.
3.      Menghalangi mereka dari jalanNya.

Itu adalah persoalan biasa yang telah berulang kali berlaku di zaman silam dan akan terus berulang di zaman ini.

Semuanya didorong oleh rasa ketakutan angkatan thaghut’ di mana mereka takut kekuasaannya yang terbangun di atas dasar kebatilan akan musnah apabila yang haq’ bangun dan tegak untuk menghapus kebatilan.

Allah swt berfirman :

“Sebenarya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu mensifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagiNya).” (QS Al-Anbiya’ : 18)
  
Dalam mengukuhkan cengkaman kuku besi mereka ke atas dakwah al-haq’ dan para pendukungnya, mereka terlebih dahulu akan mereka-reka atau menciptakan berbagai tuduhan yang paling keji dan dusta.

Tuduhan-tuduhan jahat dan dusta itu kemudian dilemparkan kepada para pendukung dakwah.

Mereka gambarkan kepada manusia bahwa para pendukung dakwah itu adalah :

a.       Musuh bangsa.
b.      Musuh rakyat.

Ini bertujuan supaya orang-orang bangun menentang mereka seperti apa yang dilaksanakan oleh Fir’aun dan para pembesarnya terhadap Nabi Musa as :

“Dan berkata Fir’aun (kepada pembesar-pembesarnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi.” (QS Al-Mukmin : 26)
  
“Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Fir’aun (kepada Fir’aun): “Apakah kamu membiarkan Musa dan kaumnya untuk membuat kerusakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?.” Fir’aun menjawab: “Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup perempuan-perempuan mereka; dan sesungguhnya kita berkuasa penuh di atas mereka.” (QS Al-A’raf : 127)
  
Namun, semua tindakan Fir’aun itu tidak melemahkan iman Nabi Musa as dan kaumnya.

Nabi Musa as mewasiatkan kepada mereka supaya bersabar dan memohon pertolongan Allah serta menggembirakan dan menenangkan hati mereka dengan mengingatkan bahwa Allah akan menolong hamba-hambaNya yang bertakwa.

“Musa berkata kepada kaumnya: “Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS Al-A’raf : 126)
  
Untuk melaksanakan dakwah, betapapun susahnya, menderita dan pahit yang dialami, tetapi hasilnya terjamin.

Allah swt berfirman :

“Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (QS Ar-Ra’du : 17)
  
“…Dan Kami sentiasa berkewajiban menolong orang-orang yang beriman.” (QS Ar-Rum : 47)
  
UJIAN DATANG PADA SAAT TITIK KELEMAHAN KITA

Waktu ujian atau peperiksaan itu tidak pernah lebih panjang daripada waktu hari belajar, namun ramai orang yang tidak sabar menghadapi ujian atau peperiksaan seakan-akan sepanjang hari hanyalah ujian atau peperiksaan dan sedikit sahaja hari untuk belajar.

Ujian kesabaran, keikhlasan, keteguhan dalam berdakwah lebih kurang waktunya kalau nak dibandingkan dengan berbagai kenikmatan hidup yang kita rasakan.

Kalau ada sekolah yang waktu ujian atau peperiksaannya lebih banyak dari hari belajarnya, maka sekolah tersebut boleh dianggap sekolah yang tidak siuman.

Selain dari ujian-ujian kesulitan, kenikmatan itu sendiri adalah ujian bahkan, alhamdulillah’ rata-rata aktivis dakwah di negara kita sekarang inipun secara ekonominya semakin lebih baik tanpa menafikan ada juga di antara mereka yang roda ekonominya agak perlahan.

Ada orang yang telah lama terlibat dengan dakwah ketika menamatkan pendidikannya di universiti mengajak rakannya untuk mulai aktif berdakwah. Apabila diajak, rakan beliau  menolak dengan alasan ingin kaya dahulu kerana orang yang kaya suaranya didengar orang dan kalau berdakwah, dakwahnya cepat diterima. Namun dalam beberapa tahun kemudian apabila mereka bertemu semula ternyata rakannya itu tidak juga kaya dan bahkan macam orang biasa juga.

Ternyata, kita akan temui kuncinya di dalam ayat Allah swt :

“Demikianlah kami uji mereka disebabkan kefasikan mereka”.

Nampaknya Allah swt hanya menguji kita apabila kita berada pada titik yang paling lemah.

Contoh yang jelas adalah sikap Bani Israil yang malas untuk beribadah pada hari Sabtu yang kemudiannya diuji oleh Allah dengan kedatangan ikan yang banyak pada hari tersebut.

Begitu juga contoh mereka yang berniaga di sekitar masjid-masjid pada hari Jumaat di mana pada saat azan Jumaatlah ramai pelanggan yang datang untuk membeli makanan dan minuman.

Namun, kalau mereka mampu melaluinya dengan azam yang kuat niscaya ujian itu tidak akan memberi kesan kepadanya seumpama kapal pemecah ais. Apabila ia tidak bergerak, bongkah ais itu tidak akan menghilang tetapi ketika kapal itu bergerak maju ke depan, bongkah ais itu membiarkannya berlalu.

Kita mesti menerobos segala perkara yang pahit seperti anak kecil yang belajar berpuasa, walaupun terasa haus untuk minum namun ditahannya sungguh-sungguh hingga waktu maghrib. Barulah kelazatan, kesenangan dan kepuasan yang tiada tara dapat dinikmati kerana sudah berhasil melalui ujian dan cobaan sepanjang hari berpuasa.

JANGAN TERTIPU DI SEBALIK PUJIAN

Kita perlu berhati-hati apabila manusia lain menyanjung kita kerana kita takut bahwa kita tidak berhak di atas kemuliaan itu. Apalagi berbagai jawatan dan penghargaan yang kadang-kadang membuatkan sebahagian orang tidak sedar bahwa ia telah masuk ke dalam wilayah keangkuhan dan kesombongan.

Gementar tubuh Abu Bakar ra apabila disanjung lalu beliau berkata :

“Ya Allah, jadikan aku lebih baik dari yang mereka sangka, jangan hukum dirikulantaran ucapan mereka dan ampuni aku kerana ketidaktahuan mereka”.

Di mana posisi kita berbanding Abu Bakar As Shiddiq ra?

Ibnu Atha’illah As Sakandari berkata :

“Alangkah bodohnya kamu, percaya kepada sangka baik orang kepadamu, padahal engkau tahu betapa dirimu jauh dari kebaikan itu”.
  
Di antara nikmat Allah ialah sitr’ (penutup) yang Allah berikan kepada para hambaNya sehingga aibnya tidak dapat dilihat oleh manusia. Namun mereka yang mengelamun sentiasa berkhayal tanpa mahu merubah diri sendiri.

ALLAH YANG MEMBERI KITA KURNIAAN BESAR

Kelengkapan dan kemudahan hasil dari kerja jamai’e memberikan erti bagi kewujudan ini. Kebersamaan ini telah melahirkan kebesaran kolektif. Jangan kita kecilkan makna kebesaran amal jamai’e kita dengan mendabik dada bahwa kita telah berjasa kepada dakwah Islam.

“Mereka membangkit-bangkitkan (jasa) keislaman mereka kepadamu. Katakan: ‘Janganlah bangkit-bangkitkan keislamanmu (sebagai sumbangan bagi kekuatan Islam, (sebaliknya hayatilah) bahwa Allah telah memberi kamu kurniaan besar dengan membimbing kamu ke arah iman, jika kamu memang jujur.”(QS Al Hujuraat : 17)
  
Allah telah memimpin kita kepada keimanan dan dakwah Islam dan ini adalah suatu kurniaan yang besar.
Sebaliknya, mereka yang merasa telah berjasa, lalu keluar dari kafilah kebahagiaan ini disebabkan ketidakpuasan yang lahir dari pergaulan dengan manusia yang tidak maksum dan sempurna, maka mereka sebenarnya telah ditimpa musibah dan kegagalan.

Selain iman, sifat saling mendoakan sesama muslim atau sesama aktivis dakwah telah menjadi ciri kemuliaan peribadi mereka, lebih-lebih lagi doa dari jarak yang jauh di mana sifat ikhlas dan cinta menjadi motivasi bagi saudara yang berdoa itu. Allah akan mengabulkannya dan malaikat akan mengaminnya seraya berkata:

“Untukmu pun hak seperti itu”

Ini sebagaimana pesanan Rasulullah saw dalam sebuah hadithnya yang menggambarkan    kemuliaanukhuwah’ dan kebersamaan di mana para Nabi dan syuhada’ merasa cemburu kepada mereka yang saling mencintai bukan di atas dasar hubungan kekeluargaan tapi semata-mata kerana iman dan cintafillah’ yang mereka bangunkan.

Dakwah memang memerlukan para pendukungnya yang :

1.      Mampu bertahan.
2.      Tetap mempunyai komitmen yang tinggi.

Kekuatan keperibadian para pendukunglah yang menjadikan dakwah semakin kuat dan mampu berkembang dalam realiti masyarakat umum yang semakin mencabar.

Untuk itu, tetaplah bertahan di sini dengan komitmen yang utuh disertai dengan keteguhan yang mendalam kerana hanya dengan itulah kita mampu duduk bersama dan meneruskan agenda dakwah dalam menanam benih-benih kebaikan dalam masyarakat kita.

Ya Allah, kami memohon cintaMu, cinta orang-orang yang mencintaiMu dan cinta kepada segala yang akan mendekatkan kami kepada cintaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen.

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"
 ·  · Share

No comments:

Post a Comment