Pages

Tuesday 20 September 2011

Dakwah melalui teknologi perlu disiplin


Dakwah melalui teknologi perlu disiplin



by Muhammad Hafiz on Wednesday, 19 January 2011 at 06:08
Umat Islam mesti selidik, pastikan kebenaran sebelum sebar maklumat berkaitan agama 

SUDAH selayaknya menjadi budaya umat Islam menyebarkan mesej sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel dan surat yang mempunyai elemen dakwah.

Pastinya ramai pernah menerima mesej, “Sila sebarkan SMS ini. Jika tidak kamu akan ditimpa bencana daripada Allah SWT,” atau “Jika anda mahukan kejayaan dikurniakan Allah SWT maka sebarkan e-mel ini kepada 20 orang. Sudah pasti akan datang ganjaran tanpa anda duga”.
Mesej sedemikian membuatkan kita berasa ragu untuk tidak melakukan apa yang disuruh. Malah timbul anggapan mungkin rezeki dikurniakan Allah SWT sepatutnya dilaburkan kepada usaha penyebaran maklumat agama ini. 

Ada juga surat berantai yang diterima kononnya daripada pemegang anak kunci makam Rasulullah SAW. Ada dinamakan dengan Syeikh Ahmad dan Syeikh Omar. Selepas ditanya kepada penduduk Madinah mengenai orang itu, mereka menyangkal dakwaan ini. Penduduk Madinah sendiri tidak pernah mengenali nama individu terbabit. 

Perkara ini dinyatakan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa Muasarah, bagaimana mereka boleh membuat jaminan kebahagiaan (pahala) dan jaminan ‘bala’ atau bencana jika tidak menyebarkan petikan itu. 

Inilah bahaya kepada agama yang perlu dikikis daripada teknologi. Walaupun umat Islam bersemangat dalam beragama, namun semangat sama sekali tidak dihalalkan jika melanggar disiplin keilmuan Islam. 
Surat berantai, SMS dakwah, e-mel berunsur keislaman yang mempunyai dakwaan serta amaran bukan berasal daripada al-Quran dan as-Sunnah menggambarkan seolah-olah Islam belum sempurna. 

Firman Allah bermaksud: “Pada hari ini Aku sempurnakan kepada kamu agamamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku ke atas kamu, dan Aku reda Islam itu sebagai agama kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3) 

Jika anda tidak menyebarkan maklumat ini maka anda akan mendapat musibah. Siapakah kita dalam mewajibkan dan mengharamkan. Malah boleh pula kita menetapkan bilangan tertentu untuk disebarkan seperti arahan menyebarkan kepada 20 orang untuk mengelak perkara tidak diingini. 

Islam amat mementingkan maklumat yang disampaikan tidak diterima secara semberono tanpa alasan jelas. Setiap dakwaan itu memerlukan hujah dan dalil, tambahan yang berkaitan agama. Sebab itu fakta diterima perlu dipastikan sumbernya, supaya ia tidak ditokok tambah. 

Ulama tabi’in, Muhammad Ibn Sirin berkata: “Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan al-Sunnah adalah din (agama). Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.” 

Sebenarnya budaya ini bukan budaya baik bagi mereka yang celik teknologi. Mereka sepatutnya mengetahui selok-belok pembohongan teknologi. Sayangnya mereka tumpas kerana pembohongan itu datangnya daripada e-mel atau SMS berbentuk agama. 

Kita takuti hasil sebaran kepada rakan lain membuat diri terjebak dalam pendustaan dan pembohongan itu pula atas nama Rasulullah SAW. Jangan kerana nampak keratan agama, terus disebarkan. Bukankah orang berkualiti adalah mereka mempunyai penyaring dalam setiap ceritanya. 

Semangat berdakwah melalui saluran perkembangan teknologi memang dibanggakan dan itu juga peluang melakukan dakwah. Namun, harus diingat dakwah juga memerlukan disiplinnya. Sebab itu, ulama melarang menceritakan dan menyampaikan sesuatu maklumat tanpa diselidik dulu. 

Mereka yang bersemangat untuk menggabungkan teknologi maklumat dan urusan dakwah, perlu merenung dan menjadikan kata-kata Imam Ibn Jauzi dalam kitabnya Talbis Iblis terhadap golongan yang suka menyebarkan cerita jauh daripada disiplin ilmu sebagai panduan. 

Katanya: “Orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu, sebaliknya berpaling kepada cerita dan perkara yang diminati orang jahil. Maka timbul bidaah dalam bidang ini, dalam kalangan mereka ada yang memalsukan hadis dalam at-Targhib (menggalakkan ibadah) dan at-Tarhib (menakutkan orang ramai kepada maksiat). 

“Iblis menipu mereka dengan mengatakan: Tujuan kami untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang kejahatan. Ini penambahan mereka terhadap syariat. Justeru, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan. 

Tidak salah menyebarkan SMS dan e-mel atas tujuan dakwah tetapi bukan kita menetapkan ganjaran atau amaran. Marilah menjadi pendakwah dalam dunia teknologi berdasarkan ilmu kerana ilmu itu pagar mereka yang bersemangat. 

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

No comments:

Post a Comment