Pages

Thursday 22 September 2011

Persoalan Agama: Tidak tanggung dosa orang lain kecuali gagal laksana amanah


Persoalan Agama: Tidak tanggung dosa orang lain kecuali gagal laksana amanah

by Muhammad Hafiz on Sunday, 30 January 2011 at 09:18
BENARKAH orang tua yang meninggal dunia akan diseksa jika anaknya yang dewasa berbuat maksiat atau berjudi? Perlukah kita membuat korban untuk orang yang meninggal dunia. 
Ingin Tahu, 
Shah Alam.
 
Jawapan:
 
Al-Quran menegaskan dalam surah al-An’am ayat 164 yang bermaksud: “Katakanlah, (sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap seseorang melainkan orang itulah saja yang menanggung dosanya, dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja), kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisih padanya.” 
Dengan demikian, seseorang tidak akan diseksa kerana dosa dilakukan orang lain. Dosa anak tidak dapat dipikul orang tua, begitu juga sebaliknya. 

Bagaimanapun, dalam soal ini ada beberapa pengecualian. Antaranya, jika orang tua tidak mendidik anaknya pada waktu kecil sehingga anak menjadi jahat dan berbuat berbagai maksiat. 

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa seorang ayah dihalangi masuk ke dalam syurga disebabkan pengaduan anaknya yang derhaka. Si anak meminta keadilan Allah SWT sambil berkata: “Allahumma, anshifni min haza azh-Zhalim, fainnahu lam yurabbini ( Ya Allah, aku meminta keadilan-Mu atas orang zalim ini (orang tua) kerana dia tidak mendidikku pada waktu kecil (sehingga aku menjadi jahat).” 

Sebaliknya jika orang tua itu ketika hidupnya sudah mendidik anaknya dengan baik sesuai kemampuannya, tentu saja dia tidak berdosa dan tidak akan diseksa. Akan tetapi, boleh jadi hati orang tua itu risau atau mereka rasa dimalukan di hadapan orang lain yang juga sudah meninggal dunia, akibat kelakuan anaknya itu kerana orang yang sudah meninggal dunia dapat memandang ke dunia melalui jendela alam barzakh. 

Ada sebuah hadis Nabi SAW berpesan, “Jangan malukan keluarga kamu yang sudah meninggal dunia dengan keburukan amal perbuatan kamu.” Wallahua’lam. 

Bagi soalan kedua, menyembelih haiwan korban mestilah dikerjakan pada Aidiladha atau tiga hari sesudahnya. Hukum mengadakan korban adalah sunat. Bagi pandangan mazhab Syafie, seseorang tidak sah mewakilkan orang lain dalam berkorban kecuali atas izinnya. Demikian juga bagi yang meninggal dunia kecuali apabila bersangkutan wasiat sebelum meninggal dunia. 

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat-39 yang menyatakan bahawa manusia tidak akan memperoleh suatu ganjaran kecuali atas dasar hasil usahanya iaitu: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada ( balasan ) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” 

Menurut keadilan Allah SWT, seseorang manusia itu seperti dia tidak memikul melainkan dosanya sendiri, maka dia juga tidak berhak mendapat balasan melainkan balasan apa yang diusahakannya. Mengenai berkorban untuk orang yang sudah meninggal dunia, atas perintahnya sewaktu hidup, maka ketika itu semua daging hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. 

Selain mereka termasuklah menyembelih tidak diperkenankan memakan daging itu walaupun sedikit. Ini berbeza jika yang berkorban masih hidup iaitu dia dianjurkan untuk memakan sebahagian (sepertiga) dari daging binatang yang dikorbankannya. Demikianlah, wallahua’lam. 

sumber:

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
2011/01/30

No comments:

Post a Comment