Pages

Thursday 3 February 2011

NIKAH KHITBAH @ NIKAH GANTUNG SUATU PENYELESAIAN

Displaying all 3 posts.
  • Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yg diamalkan dalam masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah dalam Islam bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan Khitbah dalam Islam sebagai pertunangan adalah tidak tepat.

    IslamGRID(1) dalam jawapannya kepada persoalan khitbah ini seperti berikut:
    _____________________________________________________________________

    "8. Assalamualaikum ustaz. Adakah dibolehkan dalam Islam Nikah tapi tak buat kenduri lagi? Kiranya ada aqad, ada maskahwin cumanya tiada hantaran dan kenduri yg besar2, hanya kenduri kecil2an shj? Kemudian apakah beza khitbah Arab dgn Melayu? Dr p'bacaan, Arab bertunang ada aqad nikah, tapi melayu x. Bezakah Khitbah dan Nikah Khitbah dan Nikah gantung? Syukran.

    Jawapan
    Memang amalan orang arab nikah dahulu sebagai bertunang, selepas itu mereka mengadakan kenduri. Kita boleh juga mengamalkkannya dan tidak menjadi masalah."
    ____________________________________________________________________

    Akibat dari cara khitbah yang salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan "coupling" (dulu disebut berdua2an atau merendet) antara lelaki dan wanita. Ada yang memberi alasan untuk ber'couple' dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum Thourndike "cuba-cuba" atau "trial and error". Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”. Ada yang berkata,"Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai malu!"

    Isunya: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaituBERNIKAH!”.

    Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!", "Saya masih belajar!", "Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.


    Khitbah

    Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber'coupling' berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.

    Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?)

    Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda,duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

    Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.

    Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

    Saya sedang berusaha untuk menghidupkan kembali 'nikah gantung' ini dengan panggilan baru iaitu 'nikah khitbah', walaupun menghadapi sedikit masalah penerimaan. Ia semata-mata bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms, chatting, fb dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram (tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.) Saya sendiri bernikah gantung (nikah khitbah) pada 7.7.1979 iaitu 6 bulan sebelum majlis kenduri. Dengan tiket nikah saya tiada masalah untuk menemui isteri atau keluar bersama-sama (ber'couple') kerana dah disahkan sebagai suami isteri (gantung-sebab tdk duduk serumah) yg lebih menepati khitbah secara Islam. Malah dengan tiket nikah itu membuatkan saya merasai beban amanah sebagai suami meskipun kami tidak serumah sementara menunggu majlis kenduri pada bulan Disember 1979. Saya mahu menjadi ibubapa yg awal pada zaman moden yang penuh kecelaruan dengan menjadikan nikah khitbah dipraktikkan oleh anak-anak saya yang belum berkahwin, insyaAllah. Doakan!!!

    WA.

    Nota Kaki(1):

    Projek IslamGRID adalah projek kerjasama terutamanya antara MAMPU dan JAKIM (sebagai pemilik) yang mana kedua-duanya di bawah Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi lain seperti MOSTI. Pasukan Projek IslamGRID secara rasminya telah ditubuhkan pada 15 Julai 2008, merupakan salah satu pasukan projek di bawah Pasukan Kepakaran ICT Sektor Awam, MAMPU.
    about 2 months ago · Report

  • Lihatlah keseluruhan amalan nabi jangan melihat sebahagian. Nabi sendiri telah bernikah dengan Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun dan tidak tinggal bersama nabi sehingga umur 9 tahun (berdasarkan hadith riwayat Bukhari) dan Aisyah masih duduk bersama Abu Bakar, ditanggung oleh Abu Bakar dan tidak duduk serumah dengan Nabi, 3 tahun lamanya. Nabi bukan bertunang tapi nikah. Itulah sunnah Nabi. Nama hanyalah nama sebagaimana nama-nama yang diberikan kepada ilmu2 Islam. Zaman Nabi ada ke istilah spt tauhid, nahu, sorof, tasawuf? Ia hanya untuk memudahkan kefahaman kita. Bila sebut nikah, ia adalah nikah walau apa pun yg diistilahkan kepadanya, semata-mata untuk membezakan jenis dan bentuknya. Lihat kepada makna di sebalik nikah khitbah tu, bukan namanya. Selain dari itu para ulamak mengiktiraf beberapa bentuk nikah yg lain yg diberi nama misyar, misyaf dll adalah untuk menyelesaikan masalah ummah. Nikah gantung hanya pada nama dan bentuk tetapi tidak pernah dihalang untuk bersama sbg suami isteri cuma tidak duduk sebumbung disebabkan halangan tertentu termasuk menyediakan rumah dan sebahagian dari nafkah zahir (atas persetujuan isteri) disebabkan sedang belajar dsbnya. Adakalanya seorang lelaki dan wanita wajib kahwin disebabkan bimbang terjebak dalam zina. Lihat hukum fiqh ttg kahwin yg terdiri dari wajib, harus, sunat, makruh dan haram.

    Meminang mengikut Islam adalah menyatakan hasrat untuk berkahwin/bernikah bukannya bertunang macam adat melayu sekarang. Di Jordan, bertunang adalah nikah yg diistilahkan sebagai nikah khitbah mengambil contoh apa yg diamalkan oleh Nabi sendiri ketika menikahi Aisyah.

    Nikah adalah mudah dalam Islam, cuma adat kita memayahkan dan diselesaikan dengan cara pertunangan yang akhirnya hampir semua yang bertunang akan terjebak dengan maksiat dengan adanya kecanggihan ICT spt sms, mms, chat, telefon dsbnya. Bagaimana kita nak menghalang semua ini. Itu belum lagi dicampurkan dengan bertunang tp bebas ke sana kemari dengan fahaman bertunang seolah2 setengah dr pernikahan.

    Untuk perhatian anda, kami para asatizah tidak pernah membuat satu cadangan semata-mata mengikut hawa nafsu, tapi kami bincang dulu sebelum melontar idea dan juga kenapa para ulamak tdk pernah menentang atau menegur wujudnya nikah gantung sejak dulu lagi kerana mrk melihat kepada makna/maksud nikah gantung bukan pada namanya. Bila sebut nikah ia adalah nikah, boleh buat apa sahaja yg dibenarkan sbg suami isteri cuma menggantungkan beberapa perkara wajib atas suami untuk tempoh tertentu tetapi semua rukun nikah dipatuhi dan maskahwin dibayar( itupun atas persetujuan isteri). Tolong baca artikel secara menyeluruh. Perkara ini pun dipersetujui oleh pihak JAKIM, malah ustaz Maszlee UIA pernah membangkitkan perkara ini dalam sebuah majalah utk umum tanpa seorang pun para ulamak membangkang cadangan itu hatta namanya tidak dibangkang.

    Wallahu a'lam.
    about 2 months ago · Report

No comments:

Post a Comment