Pages

Thursday 27 January 2011

Raya ikut Mekah atau Kalender?


by Aqsa Syarif on Wednesday, 17 November 2010 at 10:28
 
 
Dr Omar Yaakob
Pensyarah UTM Skudai
Ada orang kata tak boleh puasa pada hari Selasa 16 November 2010 sebab  jemaah haji di Makkah wukuf semalam dan berhari-raya hari ini.

Soalan yang mendasari isu ini ialah  "Bilakah sepatutnya kita di Malaysia menyambut hari raya haji, adakah ianya berdasarkan "sehari selepas wukuf di Arafah" atau pada hari 10 Zulhijjah mengikut kalender. " sering ditanya.

Kes AidilAdha 1431: Wukuf di Mekah pada hari Isnin maka Hari Raya di Mekah jatuh pada hari Selasa (waktu Mekah). Ketika wukuf tersebut, di Malaysia masih 8 Zulhijjah, maka kita menyambut raya pada hari Rabu (waktu Malaysia)

Jawapan mudah sering diberi ialah,” Kita raya Haji kerana orang berhaji, maka bila kita wukuf mengikut hari berwukuf dan beraya mengikut mereka beraya” atau, "demi kesatuan Ummah, semua umat islam seluruh dunia mesti berpuasa dan berhari-raya mengikut Mekah, jadi kita patut raya hari Selasa, tak boleh puasa hari ini dan siapa yang sembelih korban hari Sabtu sudah tidak sah lagi! ".

Sebenarnya ia tidak semudah itu.

Adakah kita beraya ikut orang wukuf dan beraya di Mekah?

Soalan ini tidak mudah dijawab kerana ulama berbeza pendapat.

Ulama sepakat mengenai orang-orang di Mekah dan sewaktu dengannya, yakni mereka kena beraya ikut sehari selepas jemaah haji wukuf.

Tetapi bagi umat Islam di tempat lain, jawapannya tidak straight-forward.

Oleh itu, jangan mudah membuat fatwa.

Jangan mudah menyalahkan/menfatwa haram orang puasa 9 Zulhijjah di Malaysia (pada hari Selasa) kerana pada hari tersebut orang di Mekah berhari-raya.

Perkara ini tidak boleh dibuat secara main-main, sambil lewa dan sedap mulut kerana jika benar kita mesti ikut mekah, puasa hari Selasa menjadi haram dan sembelihan pada hari sabtu telah melepasi hari tasyriq dan tidak sah korban.

Malangnya, ramai orang dengan mudah menyebut raya mesti ikut mekah tanpa memahami dan menyelami selok belok feqah sebenar dan implikasinya kepada orang awam.

Jika anda yakin sedemikian, berayalah seperti yang anda yakini pada hari selasa, bertakbirlah, buatlah sembelihan pada hari Selasa. Sambutlah hari tasyriq seperti yang anda yakini. Tetapi jangan kelirukan orang lain, jangan konfiuskan orang lain.


Islam mudah dan sesuai untuk semua masa dan ketika. Ia tidak memerlukan peralatan komunikasi canggih untuk mengetahui bila raya. Islam boleh diamalkan di tengah hutan belantara, di pulau terpencil dan di negara yang tiada peralatan komunikasi canggih. Di mana sahaja umat Islam boleh mencerap anak bulan atau membuat kiraan hisab. Bila sudah diketahui tarikh satu Zulhijjah, kirakan tarikh 9 zulhijjah untuk puasa sunat Hari Arafah dan 10 Zulhijjah untuk berhari raya. Bukankah mudah?

Jika kita mesti mengikut Mekah, adakah semua umat Islam di mana saja, disepanjang zaman setiap ketika mempunyai peluang untuk mengetahui lebih awal tarikh wukuf di Mekah?

Tidak, perkara di atas tidak hanya bersumberkan logika akal.

Lihat hujjah dari hadis berikut:

Dari Kuraib : Sesungguhnya Ummu Fadl binti Al-Haarits telah mengutusnya menemui Mu'awiyah di Syam.

Berkata Kuraib: Lalu aku datang ke Syam, terus aku selesaikan semua keperluannya. Dan tampaklah oleh ku (bulan) Ramadhan, sedang aku masih di Syam, dan aku melihat hilal (Ramadhan) pada malam Juma'at. Kemudian aku datang ke Madinah pada akhir bulan (Ramadhan), lalu Abdullah bin Abbas bertanya ke padaku (tentang beberapa hal), kemudian ia menyebutkan tentang hilal, lalu ia bertanya: "Bila kamu melihat hilal (Ramadlan) ?. Aku menjawab: "Kami melihatnya pada malam Jum'at". Dia bertanya lagi: "Engkau melihatnya (sendiri) ?. Aku menjawab: "Ya ! Dan orang banyak juga melihatnya, lalu mereka puasa dan Mu'awiyah berpuasa".
Ibn Abbas berkata: "Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu, maka senantiasa kami berpuasa sampai kami sempurnakan tiga puluh hari, atau sampai kami melihat hilal (bulan Syawal)". Aku bertanya: "Apakah tidak cukup bagimu ru'yah (penglihatan) dan puasanya Mu'awiyah ? Ibn Abbas menjawab: "Tidak ! Begitulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam telah memerintahkan kepada kami.” Hadis sahih yang dikeluarkan oleh Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1087. (Dipetik daripada http://www.al-firdaus.com/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=11&mode=thread&order=0&thold=0)

Walaupun hadis ini mengenai puasa, ia jelas menunjukkan bahawa para sahabah Nabi faham hakikat alam bahawa hari dan bulan boleh berlaku berlainan di tempat yang berlainan dan menerima perbezaan dalam menyambut puasa dan hari raya berdasarkan keadaan di tempat masing-masing. Mereka tidak mencanangkan bahawa ketidaksamaan tarikh menyambut raya tersebut adalah 'tanda tidak kesatuan ummah'. Tidak salah bagi mereka di Madinah berpuasa sehari selepas orang-orang di Syam/Syria.

Cuba kita timbangkan tabiat alam. Jika kita katakan, kita mesti Raya pada hari yang sama dengan hari umat Islam di Mekah Raya, kita tidak mengambil kira hakikat alam bahawa adalah mustahil bagi setiap umat Islam di dunia ini menyambut raya pada hari yang sama dengan Mekah.

Hal ini hanya mungkin berlaku sekiranya seluruh dunia mempunyai hanya satu time zone, seluruh dunia menyambut waktu maghrib dan subuh pada ketika yang sama.

Pastinya ini tidak masuk akal dan bercanggah dengan hakikat alam. Ia hanya boleh berlaku di tempat yang mempunyai time-zone yang sama dengan Makkah, i.e. Makkah dan kawasan yang sewaktu dengannya.

Ini ialah kerana Hari dan tarikh adalah sesuatu yang 'artificial' yang ditetapkan oleh manusia secara ‘arbitrary’. Manusia menetapkan garisan tarikh antarabangsa di satu garis bujur pada Lautan Pasifik. Di barat garisan tersebut, kita menganggap hari/tarikh baru telah bermula manakala dalam masa yang sama, penduduk di Timur garisan tersebut masih berada di 'hari sebelumnya'.

Jika hendak disamakan antara hari Raya di Mekah dan hari Raya di tempat lain di seluruh dunia, ia tidak mungkin kerana pada ketika Mekah berada pada hari Selasa, tempat lain masih berada pada hari Isnin, manakala ada tempat lain yang telah mendahului Mekah.

Contohnya ketika jam pukul 1.00 pagi Selasa di Mekah, jam umat Islam di Hawaii menunjukkan 12 tengahari Isnin, di California menunjukkan 2.00 ptg Isnin manakala jam di Masjid Auckland di New Zealand sudah menunjukkan pukul 11 pagi Selasa. Ini bermakna jika umat Islam di Hawaii hendak menyambut serentak dengan sambutan di Mekah, mereka perlu menyambutnya pada hari Jumaat, harinya tetap berlainan.

Jika umat Islam di Fiji hendak menyambutnya pada hari Selasa, mereka akan bertakbir 10 jam lebih awal dari umat Islam Mekah. Ini juga sesuatu yang tidak menunjukkan 'kesatuan', sekiranya kita hendak menekankan bahawa "Kesatuan bermakna serentak".

'Kesatuan' yang sedemikian bersifat artificial dan tidak perlu digembar-gemburkan.

Hakikat alam juga menunjukkan bahawa ‘anak bulan baru’ tidak lahir serentak di seluruh dunia. Biasanya, ia boleh mula dilihat dengan jelas di satu tempat/garis bujur dan kemudian di semua tempat di barat garisan bujur tersebut. Jadi, buan sesuatu yang pelik sekiranya terjadi kalender Mekah telah 10 Zulhijjah tetapi negara-negara di timur dari Mekah masih 9 Zulhijjah.

Ini semua adalah sunnatullah.

Jadi tiada masalah bagi umat Islam di negara sebelah timur dari Makkah menyambut Eidul Adha sehari lewat daripada Makkah.

Seperkara lagi, perkara-perkara seperti penetapan tarikh puasa, Raya Puasa dan Raya Haji ini, eloklah kita serahkan kepada pihak berkuasa agama kita. Jika kita masing-masing nak berfatwa, habis kelam kabutlah umat Islam negara kita.

Dalam perkara jadual sembahyang dan jadual berbuka, kita tak ada masalah dengan kiraan hisab. Kita tiada masalah menerima jadual solat yang tertera di muka akhbar atau kalender oleh Pihak berkuasa agama. Kenapa dalam bab penetapan hari raya Eidul Adha kita merasa kita layak mempertikaikan?

Sewajarnya, bila mereka dah tetapkan, ikut saja. Kita tidak akan ditanya dengan penetapan yang dibuat oleh mereka.

Wallahua'lam.

Dr Omar Yaakob
UTM Skudai
· · Share

No comments:

Post a Comment