Pages

Wednesday 26 January 2011

Jarak Dunia Dengan Akhirat Seperti Memejam Mata


by Norhasyikin Ekin on Wednesday, 24 November 2010 at 12:55
 
 
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah sementara waktu sahaja dan hidup di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Nabi s.a.w menganggap bahawa jarak dunia ini dengan hari akhirat adalah seperti memejamkan mata.

Jabir bin Abdullah berkata : "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah s.a.w. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?

Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata : " Dunia itu adalah impian orang yang tidur"

Bertanya orang itu lagi : "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah s.a.w.?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : " Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir"

Orang itu bertanya lagi : "Apakah Syurga itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w. : "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini"

Bertanya orang itu lagi ; "Apakah Jahannam itu?"

Maka berkata Rasulullah s.a.w : "Jahannam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka-mereka yang mencarinya."

Bertanya orang itu lagi : "Siapakah sebaik-baik umat ini?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah s.w.t".

Orang itu bertanya lagi : "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."

Orang itu bertanya lagi : "Seberapakah ketentuan taat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w.: "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah"

Bertanya orang itu lagi : "Berapa jarak jauhnya Dunia dengan akhirat itu?"

Berkata Rasulullah s.a.w : "Hanya sekadar memejamkan mata saja."

Jabir melanjutkan cerita : "Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu seperti itu."

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya ; "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s., dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."

Berkata Rasulullah s.a.w lagi : "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya".

Sahabat yang dimuliakan,
Dunia ini adalah alam khayalan yang mana satu masa nanti ianya akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu bahawa akhirat sahaja yang kekal. Orang yang mengejar dunia iaitu mencari harta dunai dan mencari pangkat dan kedudukan sekiranya ia melupakan akhirat semasa ia mencarinya dan tidak peduli halal atau haram atau merampas hak orang lain sebenarnya ia sedang di kuasai oleh dunia dan akan hanyut dibawa arus kebinasaan. Tetapi sekiranya seseorang mencari harta di dunia ini dengan mengikut peraturan Allah s.w.t , tidak melupakan kewajipan terhadap-Nya, tidak menipu, menindas, mengambil rasuah dan tidak mengambil hak orang lain maka harta itu akan membawa keberkatan dan disalurkan pula harta itu untuk zakat, sedekah jariah, infak di jalan Allah dan membantu fakir miskin maka harta itu sebagai alat yang akan membantunya mendapat keredhaan Allah dan akan menjadi saham akhirat.

Orang yang bijak adalah orang yang merasai bahawa hidup di dunia ini adalah sementara saja, ia tidak buru dunia siang malam hingga melupakan amal soleh, amal ibadah dan melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah s.w.t di muka bumi ini. Sebab ia tahu satu hari nanti ia akan mati dan meninggalkan dunia yang fana' ini. Ia akan meninggalkan anak-anak, isteri-isteri, rumah, kenderaan, ladang-ladang pertanian,saham-saham dan gedung-gedung perniagaan. Bila mati yang dibawa bersama adalah amal soleh yang telah dikerjakan semasa di dunia dulu.

Jika sekiranya seseorang itu masih memikirkan cara-cara untuk mendapatkan kebendaan dunia tanpa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., melupakan solat dan zikir kepada-Nya, maka tidaklah ada makhluk Allah yang paling rugi adalah insan seperti nya kerana setiap apa yang Allah ciptakan itu baik tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang atau apa sahaja makhluk ciptaan Allah semuanya berzikir memuji kebesaran Allah. Jadi siapakan makhluk yang paling rugi? Tidak lain melainkan manusia itu sendiri.

Ingatlah ! Hiduplah cara Islam, cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Jangan mengikut cara lain selain dari Islam. Selain cara Islam semuanya adalah penipuan keatas mausia. Orang yang mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan Islam adalah mereka itu orang-orang yang tidak redha kepada apa yang yang telah Allah s.w.t tetapkan. Dan bagi mereka yang tidak redha kepada perintah Allah maka sudah semestinya mereka itu berasa malu sebab masih menduduki di bumi Allah dan hendaklah mereka itu tidak memakan sesuatu pun yang keluar dari bumi Allah.

 Sahabat yang dikasihi,
Janganlah tangguh lagi, segeralah menyembah Allah dan lakukanlah ketaatan kepada-Nya kerana ajal itu tidak ada tarikh atau masa yang tetap yang kita ketahui, semuanya menjadi rahsia Allah. Umur muda bukan dan tidak sekali-kali menjamin kita hidup hingga umur yang tua, maut itu adalah seperti telur dihujung tanduk.

Apabila sudah sampai saat dan masanya ajal sampai, maka kita akan bertemu Allah di alam barzakh dan segala jawapan yang akan diberikan nanti adalah amalan yang kita kerjakan ketika di dunia ini. Jika banyak amalan yang baik maka amalan tersebut akan tolong memberi jawapan dan sebagai peguam bela, tetapi jika amalan keburukan yang banyak maka tidak ada siapa yang dapat membantunya dan terimalah balasan azab siksa kubur yang amat dahsyat siksaannya.

Yang amat malang lagi selepas alam barzakh ada alam lain yang lebih dahsyat siksaan dan penderitaan yang akan ditanggung iaitu di Padang Mahsyar dan siksaan apa Neraka Jahannam.

 Oleh itu marilah kita muhasabah diri kita sendiri ambillah dunia seadanya dan salurkanlah apa yang ada di dunia ini untuk akhirat dan perbanyakkan amal soleh dan amal ibadah sebagai bekalan kita bila kita bertemu Allah s.w.t nanti.

Share

No comments:

Post a Comment