Pages

There was an error in this gadget

Wednesday, 19 October 2011

Tak Payahlah Usaha, Sebab Allah Dah Tetapkan Semua ( Muhasabah )


Tak Payahlah Usaha, Sebab Allah Dah Tetapkan Semua ( Muhasabah )

by Abu Hanifah on Wednesday, 01 December 2010 at 21:36

Ada orang mengambil fahaman begini:

“Aku buat jahat, sebab Allah dah takdirkan aku buat jahat”

Ada pula yang kata begini:

“Kita ni, tak payah susah-susah buat baik, tak payah susah-susah usaha. Semuanya Allah dah tetapkan. Jadi kita buat aja suka hati. Allah yang tetapkan kita masuk syurga atau neraka. Itu semua Dia dah susun”

Ada yang percaya:

“Tak perlu studi, sebab keputusan periksa tu Allah dah susun semenjak azali”
Ya kah?

Saya sebenarnya suka untuk semua manusia memikirkan satu dimensi yang lain dari pemikiran-pemikiran di atas. Pada saya, orang yang berkata seperti di atas, tidak memahami kasih sayang Allah SWT secara sebenarnya kepada manusia.
Memang takdir itu kepunyaan Allah SWT. Memang, Allah SWT tahu apa yang jadi pada masa hadapan. Memang, Allah SWT dah susun semuanya. Tapi antara kasih sayang Allah kepada manusia, adalah Allah SWT mengurniakan kepada manusia satu perkara:

Ikthtiar.


Ikhtiar yang diberi

Pastinya, ada jutaan ulama’ lain yang boleh membahaskan perkara ini lebih baik daripada saya. Saya, hanya membahaskannya sebatas ilmu saya sahaja. Dan saya amat tahu, ilmu saya masih rendah dan tidak sempurna.
Allah SWT, memberikan pada manusia ikhtiar.

Sebab itu Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu bergerak mengubah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Allah SWT juga berfirman:
“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT, sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah SWT hanyalah orang-orang yang kufur” Surah Yusu ayat 87.

Di sini jelas bahawa, Allah SWT memberikan manusia kuasa untuk berusaha.
Untuk apa usaha, andai semua perkara sudah tersusun dan ditentukan?

Tuduhan ke atas Allah

Pada saya, kata-kata: “Tidak perlu usaha, Allah dah susun semua” adalah satu tuduhan palsu kepada Allah SWT. Bukankah perkara itu, secara tidak langsung kita telah menyatakan bahawa Allah itu zalim?

Dan pernah terjadi pada zaman Saidina Umar Al-Khattab, seorang pencuri mencuri. Lantas, Saidina Umar menyuruhnya dibawa ke hadapannya. Pada zamannya, pencuri diberi keadilan yang amat tinggi. Hal ini kerana, pada zaman Saidina Umar ada berlaku musim kemarau yang panjang, sekitar 2-3 tahun. Zaman itu zaman kemarau, ramai rakyat jatuh miskin dengan teruk sekali. Semua pencuri akan ditanya terlebih dahulu kenapa mencuri. Jika kerana terlalu lapar, ketiadaan wang yang teramat, hingga memaksa diri mencuri, maka pencuri akan dilepaskan.

Maka, pencuri tadi ditanya:

“Kenapa kau mencuri? Adakah kerana kau tiada duit? Kerana terlalu lapar?”

Dia menjawab dengan satu jawapan yang aneh sekali: “Tidak. Bukan kerana sebab-sebab itu wahai Amirul Mukminin. Saya mencuri, hanya kerana Allah telah menyusunkan saya, mentakdirkan saya untuk mencuri”
Maka Saidina Umar Al-Khattab mengeluarkan arahan: “Potong tangan lelaki ini, dan sebatlah dia 40 kali”

Sahabat-sahabat ketika itu kehairanan dengan hukuman Umar. Mencuri, hukumnya potong tangan. Kenapa ditambah pula 40 sebatan? Lantas mereka bertanya akan hal itu. Saidina Umar menjawab:

“Potong tangan untuk kesalahannya mencuri tandap darurat. 40 sebatan adalah untuk tuduhannya ke atas Allah SWT”
Di sini jelas bahawa, Saidina Umar Al-Khattab juga mengingkari perkara ini.

Kalau benar semua Allah SWT telah susun, dan manusia tidak perlu berusaha, maka Saidina Umar pastinya melepaskan lelaki itu dengan jawapannya.


Allah Maha Mengetahui

Allah itu Maha Mengetahui. Sebab itu, Allah SWT Maha Mengetahui Masa Hadapan kita. Adakah kerana Dia telah menyusun semuanya?

Seorang orientalis islam berkata: “Sebenarnya, masalah ini masalah yang besar. Kerana ini adalah ilmu Allah SWT. Tiada siapa boleh bereksperimentasi dalam hal ini, untuk membuktikan kebenaran hipotesisnya. Tapi, saya boleh katakan begini berkenaan masalah Allah telah menyusun semua perkara. Sebenarnya, Allah SWT tidak menyusun semua perkara, tetapi Dia mengetahui semua perkara. Dia tahu kita akan pilih apa, Dia tahu apa akan jadi pada kita dengan pilihan kita, Dia tahu ke mana kita akan pergi dengan pilihan kita, dan begitulah Dia. Dia Maha Mengetahui”

Ya, siapa dapat membedah apa yang Allah SWT fikir? Dia pastinya jauh berbeza dengan kita. Allah SWT, tidak akan ada apa yang mampu menyamainya. Sedikit pun tidak menyamai apa yang diciptakan-Nya. Jadi bagaimana kita boleh mengetahui limit kekuasaan-Nya?

Tapi saya suka pendapat Dr Ahmad. Yakni Allah SWT mengetahui masa hadapan kita. Dia tahu kita bagaimana nanti. Ada dua pilihan, Allah tahu yang mana kita akan pilih. Allah SWT tahu apa akan jadi kepada kita dengan pilihan kita.
Tapi yang memilih, itu kita.

Kita tidak tahu, apa yang Allah tahu

Orang akan kata pada saya: “Sama aja la kalau macam tu. Baik kita buat apa kita suka”

Em… Saya tak bersetuju la macam itu. Sebab, kita tidak tahu apa yang Allah tahu. Jadi, kita tak tahu apa akan jadi pada masa hadapan kita. Baik atau buruk, kita langsung tidak tahu. Sebab itu, kita perlu berusaha. Sangka baik kepada Allah SWT dengan apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita.

Kalau nak baik, kita bergerak ke arah kebaikan, insyaAllah kita akan dapat kebaikan. Kalau nak buruk, kita bergerak ke arah keburukan, insyaAllah kita akan dapat keburukan. Allah SWT sendiri ada berfirman:

“Barangsiapa yang berbuat kebaikan walau sebesar zarah, maka dia akan dikira. Dan barangsiapa yang berbuat keburukan walau sebesar zarah, maka dia akan dirkira” Surah Al-zalzalah ayat 7-8.
“Tiada paksaan di dalam agama, tetapi telah jelas yang mana petunjuk dan mana yang bukan” Surah Al-Baqarah 256. 

“Barangsiapa yang mencari jalan hidup selain Islam, tidak akan sesekali diterima daripadannya(amalannya) dan dia di akhirat kelak tergolong dari kalangan orang yang rugi” Surah Ali-Imran ayat 85.

Lihat, dan ada banyak lagi ayat di dalam Al-Quran yang menunjukkan ada ciri-ciri usaha, ikhtiar. Di tangan manusia usaha dan ikhtiar itu. Memang, Allah tahu apa akan jadi pada kita dengan pilihan kita. Tapi kita tak tahu. Jadi, dengan ketidak tahuan kita itu, kita disuruh berusaha dan memilih yang terbaik.


Natijah

Jadi, jangan fikir fasal nanti jadi apa, apa Allah dah susun pada aku.

Itu semua ilmu Allah SWT. Natijah, kita serah pada dia.

Tapi kita juga perlu selitkan sangka baik kita kepada Dia.

Allah SWT tidak akan memungkiri janji-Nya. Takkan yang buat baik, Dia suka-suka nak campak masuk neraka?
Namun, di atas dunia ni memang berlaku situasi-situasi macam ni:

“Aku belajar sungguh-sungguh, tapi dapat 3A je”

“Aku punya bisnes dengan jujur, tapi bankcrupt jugak”

“Aku punyala ikhlas sahabat dengan dia, tapi dia tikam aku dari belakang”

Situasi-situasi macam ni, jangan kita salah anggap yang Allah dah takdirkan keburkan pada kita. Sebenarnya, itu semua ujian sahaja. Ujian sahaja. Kena faham yang itu. Dan ujian-ujian itu ada hikmahnya. Nak mengingatkan kita kepada kehidupan kita, nak dekatkan kita kepada Allah, nak ujia keimanan kita. Saya dah banyak cakap benda ni dalam post-post yang lepas.

Jadi, kita usaha. Sebab itu, kita selalu kata:

“Usaha di tangan manusia, natijah di tangan Allah, dan apa yang Allah beri itu yang terbaik”
Jadi, terus berusaha. Mana la tahu, dari runtuhan kegagalan kita, kita mampu membina bangunan kejayaan yang tinggi.
Dan ketahuilah, dalam hidup memang akan ada ujian. Ujian dengan kehidupan, adalah kembar tidak seiras.

Yakinlah, bersangka baiklah dengan Allah SWT

Allah SWT suruh kita tidak berputus asa pada rahmatNya. Allah SWT kata, Dia tidak akan mengubah nasib kita, melainkan kita tidak bergerak mengubah diri kita. Allah SWT kata, tiadak paksaan dalam agama, kita boleh pilih mana kita suka, tetapi dah jelas mana baik buruk. Allah kata, siapa buat baik dibalas kebaikannya, siapa buat buruk, dibalas keburukannya.

Semua tu, Allah yang kata.

Dan Allah SWT, tidak memungkiri janjinya.
“Dan sesungguhnya janji-janji Allah itu benar…” Surah Ar-Rum ayat 60.

Jadi, kenapa kita memilih untuk tidak berusaha meraih janji-janji-Nya?

Manusia yang tidak berusaha ni, layaknya kita panggil zombi. Dia mayat sebenarnnya, tapi terhidup pula. Mayat, tak payah usaha.

Saya pernah kata dahulu. Manusia ni kena berusaha, usaha dan usaha.
Bila boleh berhenti usaha?

Bila dah mati sahaja.

Jadi, bersangka baiklah kepada Allah. Yakinlah dengan semua kata-kata-Nya. Dia tidak akan menzalimi diri kita. Tetapi, manusialah yang sering menzalimi diri mereka sendiri. Beri pelbagai alasan, itu dan ini.
Dan saya rasa: “Tak payah usaha, Allah dah susun semua” hanyalah salah satu alasan untuk menghalalkan tindakan-tindakannya.

Nah…
Jom usaha sahabat-sahabat seakidahku.....

Oleh Hilal Asyraf

 ·  · Share

No comments:

Post a Comment