Pages

There was an error in this gadget

Wednesday, 19 October 2011

Pengetua sekolah bukan budak pejabat Umno


Pengetua sekolah bukan budak pejabat Umno

by Kedah Lanie on Tuesday, 28 December 2010 at 23:04
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya membidas Kerajaan BN Pusat kerana meniupkan sentiment politik kepartian kerana melarang gambar Menteri Besar Kedah dari dipamerkan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Tindakan itu tidak wajar, katanya, kerana menafikan hak pelajar untuk mengenali pemimpin tertinggi negeri. “Sepatutnya Kementerian Pelajaran mendidik tanpa sekatan dan bukan menghadkan ilmu apabila membabitkan parti pembangkang. Itu didikan tidak betul kerana didik pelajar tidak hormati pemimpin,” tegasnya.

Isu mengharamkan gambar menteri besar dipamerkan di sekolah bukan isu baru. Ia berkuatkuasa sebaik Pakatan Rakyat mengambil-alih Kedah melalui pilihanraya. Arahan yang sama mungkin untuk semua negeri yang tidak ditadbir kerajaan BN.

Dalam tahun 80an seorang menteri Pusat telah mempertikaikan kualiti siswazah Melayu kerana kononnya lemah dalam pengetahuan semasa di samping tidak tahu berbahasa Inggeris. Menteri itu mengambil contoh dalam temuduga kerja, seorang siswazah tidak tahu menjawab soalan “Siapa Menteri Besar Johor?”

Masa itu semua negeri ditadbir oleh BN. Jika sekarang persoalan yang sama dibangkitkan maka isu tidak kenal pemimpin negeri itu dapat dijawab dengan memulang paku buah keras; wajah pemimpin negeri pun diharamkan di sekolah macam mana pelajar nak kenal pemimpin?

Kementerian Pelajaran tidak sekadar mengharamkan wajah menteri besar malah apa-apa aktiviti yang melibatkan pemimpin negeri kerajaan pilihan rakyat yang bukan dari BN juga dilarang di sekolah.

Di sebuah sekolah kerajaan di kawasan Padang Serai, persatuan orang cacat penglihatan diusir oleh pihak sekolah dari mengadakan mesyuarat agung mereka di dalam kawasan sekolah. ‘Kesalahan’ persatuan orang buta itu ialah kerana mengundang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari PAS, Ustazah Aishah Ghazali untuk merasmikan mesyuarat agung tersebut. Mereka terpaksa bermesyuarat di luar pagar sekolah.

Jika Exco dari PAS tidak dibenarkan masuk kawasan sekolah, apa salahnya mereka dibenarkan adakan mesyuarat dalam kawasan sekolah, biarkan Ustazah Aishah berucap di luar pagar sekolah. Tapi pihak sekolah memilih untuk bertindak macam Zionis Israel mengusir rakyat Palestin terhadap golongan buta. Orang buta cuma buta mata tapi guru besar dan Kementerian Pelajaran buta hati dan perasaan. Semuanya adalah gara-gara tunduk kepada arahan politik yang tidak masuk akal. Guru besar dan pihak atasan kementerian boleh jadi bukan ahli Umno seumur hidup tetapi mereka lebih takutkan pemimpin Umno dari takutkan Tuhan.

Memang terdapat sekolah yang tidak hiraukan arahan kementerian, menggantung gambar Menteri Besar di sekolah tapi mereka cuma segelintir.

Peliknya arahan memboikot gambar Menteri Besar hanya berlaku di bawah Kementerian Pelajaran yang sepatutnya mendidik pelajar menjadi manusia, tidak pula pada kementerian lain. Mereka dibayar gaji dari duit rakyat bukan yuran keahlian Umno, tapi bekerja seolah-olah budak pejabat Umno.

Kementerian Pelajaran nampaknya nak ikut jejak Kementerian Penerangan yang tenggelam dengan sangkaan sendiri bahawa mereka bekerja untuk BN. RTM sebagai jentera penerangan kerajaan sepatutnya hanya melaporkan kegiatan menteri, pegawai atau segalanya yang melibatkan kerajaan. Nak hebahkan dasar kerajaan termasuk konsep 1Malaysia tidak menjadi kesalahan, bahkan itu kerja mereka. Tetapi menghebahkan kegiatan parti politik Umno, MCA dan MIC kemudian menyebarkan propaganda jahat dan fitnah terhadap pihak pembangkang, maka ia jelas sudah melencong dari fungsi asal.

Siaran radio Kedah FM pernah adakan siaran langsung majlis tilawah Al-Quran. Semua acara dilaporkan terus menerus, kecuali sewaktu Menteri Besar berucap. Ia dihentikan seketika hanya untuk diisi dengan bunyi muzik, kemudian disambung apabila menteri besar selesai berucap. Mengapa teruk sangat tahap professionalisme mereka?

Penulis pernah bersama Exco Penerangan mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Penyiaran Sultan Abdul Halim (RTM Kedah) beberapa bulan Pakatan ambil alih kerajaan. Gambar menteri besar yang tergantung di dinding pejabat masih lagi Datuk Seri Mahdzir Khalid. Di dinding bilik berita radio terpampang gambar barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dipotong dari sebuah akhbar harian. Muka Exco diconteng-conteng, macam perbuatan budak-budak tercicir persekolahan. Itu gambaran kerendahan akal budi dan mentaliti mereka yang bersarang di RTM. Tidak hairan jika RTM jadi jentera propaganda BN.

Perkara sebaliknya berlaku di semua pejabat Kerajaan Negeri Kedah. Di mana ada gambar Menteri Besar di situ ada gambar Perdana Menteri. Tidak ada di kalangan rakyat negeri ini yang menjadi ahli mana-mana parti Pakatan Rakyat yang merasa pelik, janggal mahupun membantah. Mereka tahu gambar itu digantung kerana ianya Perdana Menteri bukan kerana Presiden Umno. Pemikiran pemimpin serta ahli-ahli parti Pakatan Rakyat jauh lebih matang dan cerdik berbanding pemimpin Umno yang terkurung dalam longkong tempurung kejumudan.

Bagi golongan guru, sementara menunggu BN tumbang di Pusat mereka kenalah menunjukkan keberanian untuk menyanggah apa-apa arahan politik BN. Tegakkan professional pendidikan sebab mereka bukan budak pejabat Umno.
 ·  · Share

No comments:

Post a Comment