Pages

Thursday 20 October 2011

Umat Islam Akan Berpecah Menjadi 73 Puak?


by Pertubuhan IKRAM Malaysia on Wednesday, 11 May 2011 at 19:13
PERSOALAN 45
Apa Pendapat Tuan Tentang Hadis Yang Mengatakan
Umat Islam Akan Berpecah Menjadi 73 Puak?

Terdapat beberapa hadis yang membicarakan hal ini. Sebagai contoh, Nabi bersabda, “Sesungguhnya golongan Bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, kesemua mereka di dalam neraka kecuali satu. (Sahabat-sahabat) bertanya: ‘Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab: Mereka yang mengikut landasan yang aku dan sahabatku bawa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi.

Dr Yusuf Qardawi berkata, “Hadis ini tidak terdapat dalam Sahihain (iaitu Bukhari dan Muslim) sama sekali, sedangkan isu yang dibawa hadis ini adalah penting. Ini bererti hadis tersebut tidak sahih mengikut syarat kedua-duanya”.

Terdapat riwayat yang hanya menceritakan tentang perpecahan tanpa bahagian yang terakhir yang menyatakan “kesemua golongan memasuki neraka kecuali satu..”. Sebagai contoh, Nabi bersabda, “Sesungguhnya golongan Yahudi akan berpecah menjadi 71 atau 72 golongan dan orang-orang Nasrani akan berpecah menjadi 71 atau 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim. Hadis ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban dan al-Hakim, dan dikatakan Hasan Sahih oleh Tirmizi. Riwayat ini diterima melalui Muhammad bin Amir bin Alqamah bin Waqas al-Laithi dan di dalam kitab Tahzib at-Tahzib dinyatakan bahawa beliau merupakan seorang yang diragui dari segi hafalannya. Ada ulama mengatakan, “Dia seorang yang jujur tetapi diragui dalam banyak hal”.

Dr. Yusuf Qardawi membahaskan dengan panjang lebar berhubung hadis-hadis ini dalam kitabnya as-Sahwatul Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk wa at-Tafarruq al-Mazmum. Beliau berkata, “Hadis ini menimbulkan kemusykilan. Pada satu segi ia menyatakan perpecahan umat Islam lebih banyak daripada perpecahan Yahudi dan Nasrani. Dari sudut yang lain ia menyatakan kesemuanya akan memasuki neraka kecuali satu golongan sahaja. Pernyataan yang kedua ini membuka ruang untuk setiap golongan mendakwa bahawa merekalah golongan yang selamat dan yang lain-lainnya akan dimasukkan ke dalam neraka. Ia jelas akan membawa kepada perpecahan umat serta permusuhan”.

Al-Allamah Ibn Wazir dalam kitabnya al-‘Awasim wal Qawasim berkata, “Janganlah tertipu dengan hadis lemah yang menyatakan ‘kesemuanya akan memasuki neraka kecuali satu golongan’. Itu adalah tambahan bahkan merupakan rekaan orang-orang Mulhid (sesat)”.

Dr Yusuf Qardawi juga merujuk kepada kenyataan Imam Abu Muhammad Ibn Hazm yang berkata, “Kedua-dua hadis ini dari segi sanadnya adalah sama sekali tidak sah. Hadis seperti ini tidak dapat dijadikan hujah..”.

Justeru, jika hadis-hadis ini kita terima (dan sememangnya ada ulama yang menerima hadis-hadis ini), kita terima sebagai peringatan secara umum agar kita sebagai umat Islam wajib mementingkan perpaduan dalam hidup. Asas kepada perpaduan itu ialah mengikut ajaran Islam secara serius berpandukan al-Quran dan Sunnah. Hadis-hadis ini juga mengingatkan kita bahawa perpecahan tidak mustahil berlaku di kalangan umat Islam jika kita tidak berhati-hati.

Dr Yusuf Qardawi merumuskan, “Hadis-hadis itu tidak menunjukkan bahawa perpecahan itu - dalam bentuk dan jumlah yang disebutkan – akan kekal abadi sampai ke hari kiamat. Apabila muncul perpecahan dalam umat cukuplah ia menjadi bukti tentang kebenaran hadis tersebut. Mungkin sebahagian telah muncul dan kemudian berjaya ditumbangkan oleh kebenaran sehingga ia lenyap selama-lamanya,,”

Yang pasti, memandangkan terdapat perbezaan pendapat berkaitan status hadis-hadis ini, kita tidak wajib mempercayai bahawa perpecahan seperti yang dinyatakan akan berlaku secara tepat dan ia tidak dapat dielakkan lagi. Kita beriman dengan apa yang Allah nyatakan dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia, kamu mengajak kepada makruf, kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.

DARI BUKU ‘TUAN BERTANYA DR DANIAL MENJAWAB’.
http://www.facebook.com/note.php?saved&&note_id=211406025546354&id=171862109507737
DAPATKAN ‘TUAN BERTANYA DR DANIAL MENJAWAB’ DENGAN SEGERA. IA TERPAKSA DIULANG CETAK SELEPAS 2 MINGGU DALAM PASARAN.
SEMOGA IA BERMANFAAT.

No comments:

Post a Comment