Pages

Monday 17 January 2011

PAS UMNO perlu fahami keutamaan (minta pandangan)


by sunnah on Friday, 23 July 2010 at 12:38
 
sumber -sinar harian


Kerjasama dan seterusnya perpaduan antara UMNO-Pas menjadi harapan kebanyakan intelektual pada hari ini. Cuma terdapat pelbagai halangan yang perlu direntangi bersama demi mencapai matlamat yang mulia ini. Sifat ketaksuban dan keegoan menjadi penghalang utama di samping tekanan-tekanan dalaman dan luaran yang perlu dititikberatkan juga. Sekretariat iLMU (Ulama Muda UMNO) melihat kerjasama UMNO-Pas merupakan asas penting perpaduan masyarakat Melayu.

Untuk menyatakan hanya Pas yang mendukung Islam adalah dakwaan yang kurang tepat kerana jika diteliti dasar UMNO secara adilnya, kita juga mendapati bahawa parti ini turut menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. Begitu juga dakwaan yang menyatakan bahawa hanya UMNO memperjuangkan bangsa Melayu juga tidak tepat kerana secara adilnya Pas juga berusaha ke arah perpaduan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, apa yang perlu dititikberatkan oleh kedua-dua belah pihak adalah memahami keutamaan. Secara umumnya dilihat UMNO mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa, manakala Pas dilihat mengutamakan agama. Jika diteliti secara adil, apakah yang lebih utama dari kedua-dua perkara tersebut? Sudah tentu agama yang perlu diutamakan. Tetapi, jika keutamaan diberikan kepada agama, adakah ternafi usaha memartabatkan bangsa? Jawapannya adalah tidak. Kerana telah didefinasikan dalam Perlembagaan Persekutuan artikel 160 (2) bahawa Melayu, antaranya bererti seorang yang menganuti agama Islam. Maka, usaha-usaha ini perlu diseiringkan kerana perlembagaan telah menggambarkan orang Melayu adalah beragama Islam. Jadi perjuangan memartabatkan agama juga bererti perjuangan memartabatkan bangsa. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu bersatu bagi mengimbangi dasar perjuangan masing-masing.

Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, dan beberapa tokoh ilmuan di negara ini seperti, Tan Sri Harussani dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar UMNO dan Pas berbincang sebagai langkah kepada perpaduan, sepatutnya disokong penuh dan dipandang serius oleh semua pihak. Cuma apa yang menyedihkan, apabila harapan perpaduan UMNO-Pas cuba direalisasikan, mengapa ada pihak yang bersuara sumbang menafikan kejayaan perpaduan ini. Adakah kita cuba menafikan ketentuan Allah tanpa sebarang usaha dan tawakkal? Mungkin ada yang bersuara: Pengalaman lalu membuktikan bahawa UMNO-Pas tidak mungkin bersatu. Sangkaan seperti ini sebenarnya jauh tersasar.

Sewajarnya kita melihat ke hadapan, bukan semata-mata menjadikan kenangan lalu sebagai penutup bagi segala kebaikan. Setiap manusia pasti melakukan kesilapan dan kesalahan. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah mereka yang bertaubat”. (riwayat al-Tirmidzi). Jika Allah menerima taubat hamba-Nya yang membunuh 100 orang seperti yang dikisahkan di dalam Shahih al-Bukhari, mengapa tidak kita sebagai manusia memaafkan saudara kita? Mungkin ada yang berkata, mereka ini tidak ikhlas untuk bersatu. Siapa kita untuk mengetahui hati-hati manusia? Bahkan kita tidak dijadikan untuk merobek hati-hati manusia. Kerana itu, Rasulullah SAW pernah menegur Usamah bin Zaid apabila membunuh seorang kafir yang telah melafazkan kalimah syahadah (mengucap) dengan alasan tidak ikhlas. Kata Nabi: Mengapa tidak dibelah sahaja jantungnya? (riwyat Muslim). Maksudnya, dilihat apakah dia benar-benar ikhlas atau tidak. Maka, apabila saudara kita datang untuk berdamai, sewajarnya kita berusaha untuk memurnikan keadaan bukan terus mencipta fitnah dan tuduhan.

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (surah al-Maidah: 2)

Untuk bangsa dan agama lain di bumi tercinta ini, janganlah anda rasa tertekan atau terpinggir dengan usaha murni penyatuan umat Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa jika sekiranya umat Islam benar-benar menghayati ajaran Islam, penindasan tidak akan berlaku; tidak kepada umat Islam dan tidak juga kepada yang bukan Islam. Islam adalah agama rahmat yang menjaga hak-hak alam ini. Sebagaimana firman Allah: “Tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk alam ini.” (surah al-Anbiyak:107).

Walau berbeza bangsa, agama dan negara, Islam tidak pernah menggadaikan hak-hak asasi manusia. Oleh itu, Islam membenci sebarang kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi, sama ada terrorism, vandalism, pembuangan anak, pencabulan hak dan segala bentuk kemiskinan iman dan a:khlak. Perpaduan adalah jambatan penyelesaian bagi segala permasalahan bahkan menjanjikan kejayaan yang berpanjangan.

:Hayatilah firman Allah SWT: :“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang yang mendapat siksa yang berat.” (surah Ali Imran: 104-105).


* Fathul Bari Mat Jahaya
Timbalan Pengerusi
Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)
 
· · Share

http://facebook.com/note.php?note_id=409637593459&rfc9d7e39&refid=21&r41f0741a#anchor_fbid_409637593459

No comments:

Post a Comment