Pages

Wednesday 12 January 2011

Seelok-eloknya jangan kamu mengata dan mencaci..


by Wan Arief Imran Razali on Sunday, 05 September 2010 at 04:12
Bodoh! Jahil! Bermacam lagi kita caci saudara kita. Biar buruk manapun saudara kita itu kita seharusnya tidak mencacinya kerana kita juga mungkin adalah seseorang yang buruk pada pandangan orang lain. Jika kita baik pada pandangan manusia sekeliling kitapun kita tidak dapat memastikan kedudukan kita pada pandangan Allah. Mari kita selidiki sedikit kenapa kita tidak boleh mencaci.

Satu ketika dahulu ketika semua orang dikawasan tempat tinggalnya mengamalkan gaya hidup yang penuh dengan unsur-unsur kekafiran, wujud seorang pemuda bijaksana yang terfikir untuk keluar dari belenggu kesesatan itu. Muhammad bin Abdullah namanya. Dialah insan yang telah mewarnai dunia ini dengan sifatnya yang wajib kita contohi. Bermulanya Muhammad membawa kebenaran itu kepada orang ramai bukan dengan terang-terangan mengatakan dia sebagai pembawa kebenaran, tetapi dia mengajarkan pengetahuan miliknya secara diam-diam kepada mereka yang paling dekat dengannya. Yang menariknya mengenai hal bermulanya kisah penyampaian ilmu itu adalah dia diangkat sendiri oleh Allah melalui Jibril. Setelah dilantik Jibril sebagai utusan Allah, dia menyampaikan apa yang diajarkan kepada keluarga dan sahabatnya, kemudian setelah itulah mereka mengangkatnya sebagai pembawa kebenaran. Mulanya ketika dilantik Jibril, menggeletar keseluruhan tubuhnya, tidak sihat untuk beberapa hari setelah menerima berita si Jibril itu.

Sebelum wafatnya Muhammad, dia telah berpesan mengenai dua hamba Allah yang akan datang kepada umatnya setelah ketiadaannya. Salah satu daripadanya adalah Muhammad bin Abdullah juga. Dia dilantik orang ramai sebagai khalifah terakhir setelah bumi ini dipenuhi dengan pelbagai jenis kemungkaran. Setelah bumi ini kembali kepada kejahilan. Muhammad bin Abdullah ini bukanlah insan yang sama seperti Muhammad bin Abdullah yang pertama tetapi mereka punyai 'cara' yang sama. Cara mereka dilantik, cara mereka bertutur, dan bermacam lagi. Muhammad bin Abdullah yang baru ini dilantik oleh orang ramai yang mana orang ramai itu terdiri daripada mereka yang sangat taat kepada Tuhan, yang rapat dengannya. Namun ada sedikit perbezaan sebelum dia dilantik orang ramai. Muhammad pertama itu dilantik dahulu oleh Jibril sebelum diketahu ramai tetapi Muhammad yang kedua itu pula terus dilantik orang ramai setelah bermacam petunjuk yang ditunjukkan oleh Allah (melalui Jibril atau tidak, itu urusan Allah). Sebelum dia mengaku sebagai pembawa kebenaran, dia diugut bunuh oleh orang ramai kerana kedegilannya untuk mengakui tentang dirinya itu. Kedua-dua peristiwa perlantikan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah bagi empunya diri. Yang pertama menggeletar seluruh tubuh hingga tidak sihat beberapa hari dan yang kedua pula diugut bunuh sebelum terpaksa mengaku.

Hamba Allah yang kedua yang diceritakan Muhammad bin Abdullah pertama bukanlah seorang pembawa kebenaran tetapi merupakan musuh kepada Muhammad bin Abdullah yang kedua. Dialah insan paling angkuh pernah diciptakan Allah yang kita kenali sebagai Dajjal. Cara perlantikan Dajjal sebagai pembawa kesesatan juga adalah hampir sama dengan cara perlantikan kedua-dua Muhammad (pembuka dan penutup) sebagai pembawa kebenaran. Amat susah untuk si Dajjal mengakui kesesatan dirinya. Bahkan dia sanggup mengelilingi dunia dengan menawarkan kebenaran palsunya semata-mata ingin mencari pengikut yang ramai (dan pengikutnya sememangnya terlalu ramai berbanding pengikut Muhammad).

Apa yang ingin ditekankan adalah Muhammad bin Abdullah itu tidak pernah mengangkat diri sendiri sebelum ada pihak yang lebih baik darinya mengangkat dirinya dahulu. Dajjal pula dengan rela hati mengangkat dirinya sendiri sebagai pembawa kebenaran. Dan kita tidak patut mengatakan orang lain itu sebagai bodoh, jahil dan pelbagai lagi kata cacian kerana perbuatan itu ibarat perbuatan si dajjal yang mengangkat diri sendiri. Seeloknya kita diamkan diri seperti diri Muhammad yang kita kenali. Segalanya yang kita hamburkan, berbalik kepada diri kita. Itulh yang mencerminkan diri kita. Jika ada yang datang dan menghamburkan pujian sekalipun, tolaklah pujian tersebut dengan baik dan teruskan usaha keatas kebaikan. Sekian, Allahua'lam.

Maaf jika ada sebarang fakta dalam nota ini yang lebih kepada auta. Jika ada sebarang kesalahan, silalah teguri dan akan saya betulkan setelah perbincangan. Saya menyampaikan tidak bermaksud saya terlepas daripada mengatakan tentang keburukan orang. Saya juga mengingatkan kepada diri saya juga.

No comments:

Post a Comment