Pages

Friday 7 October 2011

BERTENANG PAKCIK! KAMI BUKAN ORANG JAHAT ".


BERTENANG PAKCIK! KAMI BUKAN ORANG JAHAT ".

by Classic Berbisik on Monday, 31 January 2011 at 00:26
"Dan Dia yang menerima taubat pada hamba-Nya dan memaafkan segala kejahatan mereka dan Dia pun mengetahui apa-apa yang kami kerjakan.
Dan Dia mengabulkan doa orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan serta menambahkan mereka dari pemberian-Nya.
Sedangkan orang kafir itu untuk mereka seksa yang pedih."
( Surah As-Syura: 25-26 )


KETIKA suria mulai terbenam,
sekumpulan lelaki bersenjata memacu laju kuda mereka menuju ke sebuah perkampungan.
Baru sebentar mereka merompak para pedagang di suatu laluan menuju kota Baghdad.
Tiba di hujung kampung mereka nampak kerdipan dari sebuah rumah yang terpencil,
Ketua kumpulan menunjukkan isyarat agar semuanya singgah di rumah tesebut.


Dengusan kuda-kuda perompak tersebut menyentak pendengaran tuan rumah.
Perlahan-lahan dia mengintai dari sebalik lubang kecil pintu rumahnya.
Dalam samar-samar kegelapan, dia melihat sekumpulan lelaki mundar-mandir di luar.
Sejurus itu pintu rumahnya diketuk.

Berhati-hati tuan rumah menguak pintu.
Cahaya lampu melimpah keluar.
Alangkah terkejutnya tuan rumah apabila terpandang begitu ramai lelaki bersenjata terpacak di depannya.
Melihat reaksi orang tua itu, ketua perompak segera melemparkan senyuman.

"Bertenang pak cik! Kami bukan orang jahat,"
katanya.

"Siapa kalian?"
tanya orang tua itu waswas.

"Kami adalah tentera khalifah yang sedang berjuang melawan musuh Islam.
Esok kami akan bertempur lagi.
Kalau tiada halangan, kami ingin bermalam di sini,"
jelas ketua perompak itu.

"Wahai anak muda, tugas kalian besar sekali pahalanya di sisi Allah.
Aku amat gembira jika dapat menumpang sama pahala itu.
"Silalah masuk...
lagipun aku lihat kamu semua keletihan,"
pelawa orang tua itu penuh terharu.

Menyedari lelaki-lelaki tersebut bukan orang jahat,
barulah anak dan isteri orang tua itu menjengah keluar dari bilik.

"Anak lelaki saya sekian lama menderita.
Dia lumpuh sejak lahir.
Dia hanya boleh duduk dan mengesot,"
jelas orang tua itu memperkenalkan ahli keluarganya.


Perompak-perompak itu mengangguk-angguk tanda simpati.
Beberapa ketika si isteri dari dapur membawa hidangan makan malam yang ala kadar.

"Mereka adalah pejuang fisabilillah.
Doa mereka sangat makbul.
Semoga mereka doakan anak kita.
Mudah-mudahan Allah menyembuhkan penyakit-nya,
berkat pejuang-pejuang agama Allah ini,"
kata orang tua itu kepada isterinya.

Sambil itu dia berdoa penuh tawaduk:

"Ya Allah, ya Tuhanku, aku memohon pada-Mu agar Kau sembuhkan penyakit anak kami dengan berkat pahala pejuang agama-Mu yang sedang menjadi tetamu kami malam ini."

Keesokannya, seawal pagi, lelaki-lelaki itu bersiap-siap untuk keluar 'berjuang.
Ketua kumpulan itu selepas mengucapkan terima kasih,
meminta izin beredar dan berharap dapat menemui kembali orang tua tersebut.

"Sekiranya kami tidak gugur sebagai syuhada,"
kata lelaki itu.

"Pak cik doakan kamu semua beroleh pertolongan dan kemenangan,"
kata orang tua itu.

Dia terus menadah tangan mendoakan kesejahteraan tetamu-tetamunya itu.

Allahhhhh hu Akbar!!!
Kumpulan lelaki itu melaungkan takbir beberapa kali sebelum beredar.

"Pak cik, ini anak lelaki pak cik yang lumpuh semalam?" tanya ketua perompak.

Dia kelihatan terperanjat.

"Ya, memang betul.
Dialah satu-satunya anak yang pak cik ada," balas orang tua itu.

"Bukankah semalam, kami nampak dia mengesot ke sana ke mari dan asyik berbaring...?"
soal perompak itu lagi penuh hairan.

"Ya betul, tapi sekarang dia sudah sembuh dan dapat berjalan.
Syukur kepada Allah!" jelas orang tua itu sambil menadah tangan.

"Kami sekeluarga bersyukur kerana Allah memakbulkan doa kami dengan berkat tuan-tuan sekalian, tentera yang berjuang di jalan Allah.
"Kami yakin doa pejuang agama seperti kalian segera dimakbulkan Allah,"
kata orang tua itu lagi.

"Sesungguhnya kedatangan kamu memberikan kegembiraan kepada kami.
Berkat pahala kamu semua dan keikhlasan kami membantu tanpa mengharapkan apa-apa balasan, Allah makbulkan doa kami,"
kata orang tua itu.


Tersentak ketua perompak mendengar kata-kata orang tua itu.
Tubuhnya longlai, lalu tiba-tiba dicampakkan senjata yang disandangnya.
Dilemparkan pula bungkusan rompakan yang dipikulnya.
Bertaburan dinar emas di tanah dan segala barangan berharga bergolek-golek di atas pasir.
Air mata ketua perompak itu mengalir laju.
Perbuatannya turut diikuti rakan-rakan yang lain.


Dalam sedu-sedan mereka meminta ampun kepada orang tua yang panik itu.
Selama ini mereka tidak pernah mengenal erti kemanusiaan.
Merompak dan membunuh bahkan merogol menjadi darah daging mereka.

"Pak cik...
sebenarnya kami ini bukanlah tentera yang berjuang ke jalan Allah.
Kami ini perompak, bukannya berjuang sebaliknya menyamun!!!
"Itulah kerja kami selama ini.
Kami tidak pernah berjuang kerana Allah bahkan segala perintah-Nya kami lupakan begitu saja.
Anak pak cik sembuh bukan kerana pahala kami berjuang.
Kami ini penyangak jalanan.
Tapi Allah sembuhkan penyakitnya,
kerana tinggi-nya keyakinan dan keikhlasan pak cik sekeluarga kepada Allah."

Alangkah terkejut orang tua itu dan isteri serta anaknya.
Tidak disangka mereka menumpangkan perompak.
Bagaimanapun dia sungguh bersyukur kerana anaknya telah sembuh.
Dan atas keikhlasan orang tua itu juga,
perompak-perompak tersebut menyedari kesalahan mereka.

"Selama ini kami banyak berdosa.
Mulai hari ini kami bertaubat dan kembali ke jalan Allah,"
kata ketua perompak itu sambil menangis tersedu-sedu.


Sejak kejadian tersebut, semua perompak itu tidak lagi menyamun.
Mereka mengubah cara hidup dengan menyertai bala tentera Islam.
Segala kemahiran serang hendap dan ketangkasan bermain senjata digunakan untuk membantu memerangi musuh Allah hingga kesemuanya syahid di medan juang.


~~~ http://www.haticlassic.blogspot.com

No comments:

Post a Comment