Pages

Friday 7 October 2011

Fatwa Syeikh U’tsaimin Dalam Majalah Dakwah


Fatwa Syeikh U’tsaimin Dalam Majalah Dakwah

by Nisrin Insyirah on Monday, 31 January 2011 at 11:22
 Soalan: Apakah hukum wanita benci berpoligami dengan hukum cemburu? Sedangkan cemburu itu fitrah di kalangan wanita. Kita membaca tentang cemburunya Aisyah r.ha. terhadap Rasulullah SAW. Bagaimana pula saya membaca dalam beberapa buku bahawa bencikan suatu hukum daripada hukum-hukum syariat boleh membawa kepada kekafiran?

Jawapan: Alhamdulillah. Cemburu wanita kepada suaminya suatu yang tabi’ie dan fitrah. Tak boleh berkata kepada wanita, jangan cemburu kepada suami kamu! Kebencian seseorang kepada sesuatu yang dibolehkan syariat tidak memudaratkannya selagi mana dia tidak bencikan pensyariatannya. Contohnya firman Allah SWT, ((Diwajibkan ke atas kamu perang dan ianya dibenci bagimu…)).

Wanita yang cemburu bukannya marahkan Allah yang membolehkan suaminya menikahi lebih daripada seorang wanita tetapi bencikan ada perempuan lain hidup bersamanya. Dua perkara ini adalah hal yang berbeza. Oleh itu, saya menyeru kepada saudara yang bertanya dan orang-orang lain jangan lakukan hal itu dan jangan gopoh dan ketahuilah beza yang mendalam yang membezakan hukum-hukum dengan perbezaan yang jelas terlebih dahulu.

Dalam membicarakan isu sensitif ‘POLIGAMI’,
ada golongan yang cenderung MENGHARAMKAN poligami,
ada juga golongan yang cenderung MENGGALAKKAN poligami…
saya lebih tenang bersama pendapat JUMHUR ULAMA yang mengambil jalan pertengahan iaitu:
MENGHARUSKAN poligami sebagai solusi dalam masalah, masalah tertentu, TIDAK MENGGALAKKANNYA dan TIDAK PULA MENGHARAMKANNYA. Ia lebih menyatukan banyak pihak. Terpulanglah kepada masing-masing nak berada di golongan mana.

Contoh analisa pandangan Imarah terhadap Abduh ialah:

Tradisi Poligami Menyusuli Perang

Berkembangnya sistem poligami berkait rapat dengan pertumbuhan jumlah wanita yang melampau jumlah lelaki dalam beberapa komuniti akibat perang pada masa lalu, salah satunya ialah masyarakat awal Arab. Biasanya mereka yang menyokong berlakunya sistem ini dalam masyarakat seperti itu adalah mereka yang memiliki kekuasaan dan harta.

Islam Bertujuan Menghapuskan Sistem Poligami Jahiliyah Secara Bertahap

Islam berbeza dengan apa yang dituduh oleh para orientalis bahawa agama ini mengambil sistem ini daripada tradisi jahiliyah. Islam sebaliknya mengambil sikap kritis dalam masalah ini. Tujuannya jelas, iaitu menghapuskan sistem ini dengan pendekatan bertahap (tadarruj). (Sebagaimana Islam berjaya menghapuskan sistem penghambaan secara bertahap walaupun ia masih disebutkan dalam Al-Quran). Oleh itu, apabila ada yang masuk Islam dengan sepuluh isteri, Rasulullah SAW hanya membatasinya hanya dengan empat orang sahaja. (Jelas, Rasulullah pernah menyuruh mengurangkan isteri namun tak pernah menyuruh menambah lagi isteri). Kesalahan orientalis tersebut bertitik-tolak daripada pandangan mereka terhadap fenomena atau tradisi umat Islam yang mereka teliti, kemudian dengan mudah memberikan kesimpulan bahawa tradisi-tradisi yang berlaku itu termasuk sebahagian daripada agama.

Poligami Bertujuan Sebagai Jalan Keluar Daripada Ketidakadilan Yang Menimpa Anak Yatim

Batasan poligami bertujuan memberikan jalan keluar daripada ketidak adilan yang menimpa anak yatim. Lazimnya anak yatim menjadi mangsa para penjaganya. Mereka mengahwininya kerana rakus terhadap hartanya. Oleh itu Islam menegur kaum lelaki yang menjadi penjaga agar tidak seperti itu. Perumpamaannya harus dilihat begini, “Daripada kamu nikahi anak yatim yang menyebabkan kamu berbuat zalim (dengan mengambil hartanya), baik kamu kahwin dengan wanita baik dan berharta yang lain, 2, 3 atau 4. Itupun payah juga nak elak daripada berbuat zalim, baik kamu nikah satu sahaja. Nikah satu itulah yang terbaik kerana paling jauh daripada berbuat zalim.”

Poligami di Dalam Al-Quran Bukan Satu Dorongan (Targhib) Tapi Satu Ancaman/ Tak Disukai (Tarhib)

Menurut Abduh, Islam telah memberikan syarat berlakunya keadilan mutlak. Seandainya seseorang memiliki sangkaan sedikit sahaja mengenai ketidak mampuannya berpoligami, maka ia harus berkahwin satu sahaja. Poligami yang disebutkan dalam ayat itu tidak beerti memberikan dorongan (targhib) tapi menunjukkan sikap yang tidak disukai (tarhib). Jika orang yang hendak berpoligami itu berfikir tentang syarat keadilan tersebut, nescaya dia hanya akan berkahwin satu sahaja.

Sistem Poligami dan Perhambaan

Menurut Abduh, amalan poligami serupa dengan amalan perhambaan. Islam tidak mengajarkan seperti itu. Fenomena seperti itu menurut Abduh adalah tardisi jahiliyah, tidak ada hubung kaitnya dengan Islam.

Boleh Melarang Poligami

Menurut Abduh, boleh untuk melarang berpoligami sebagaimana bolehnya melarang perhambaan. (Ia tidak dikira melarang hukum Allah). Pernytaan ini diungkapkan ketika menjawab pertanyaan mengenai boleh tidaknya menegah poligami. Ini kerana menurutnya keadilan adalah syarat mutlak yang harus dipenuhi, sedangkan berlakunya keadilan seperti itu boleh dikatakan “tidak ada” dalam masyarakat hari ini. Sesungguhnya, orang yang boleh berlaku adil, sangat-sangat jarang, dan sesuatu yang jarang tidak boleh dijadikan pegangan dalam hukum. Di samping itu, berpoligami secara reality boleh mengundang pertelagahan antara isteri, begitu juga antara anak-anaknya. Atas dasar ini, Abduh menganjurkan agar poligami dilarang, kecuali dalam keadaan yang sangat terpaksa, misalnya isteri mandul. Jika berlaku demikian barulah hakim perlu membantunya.

Antara pandangan yang nuetral tentang poligami ialah pandangan KETUA ULAMA' SEDUNIA, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi iaitu:

Poligami Menurut Yusuf al-Qaradhawi

Asal Perkahwinan Muslim Ialah Berkahwin Satu

- Para gerakan Kristian dan orientalis menjadikan topik poligami seakan-akan ia adalah syiar daripada syiar-syiar Islam, ataupun wajib daripada kewajipan-kewajipan Islam, atau sekurang-kurangnya galakan daripada galakan-galakan Islam. Ini adalah sesat lagi menyesatkan.

- Asal yang mendominasi dalam perkahwinan Muslim ialah BERKAHWIN SATU, yang mana isterinya yang itu menjadi penenang dirinya, pelembut hati, pengurus rumah tangga, tempat menyimpan rahsia. Dengan itu, terbinalah atas keduanya ketenangan, kasih saying dan kerahmatan yang menjadi teras kehidupan perkahwinan dalam pandangan Al-Quran.

Memerhati Kemaslahatan Semua Pihak

- Yusuf al-Qaradhawi walau bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat yang menyeru kepada mengharamkan poligami. Biarlah hukumnya kekal harus, bukan haram kerana melihat kepada maslahah yang pelbagai. (beliau tidak mengkafirkan pendapat yang MENGHARAMKAN poligami sebagai menentang hukum Allah).

- Orang yang ingin melakukan poligami mestilah berkeyakinan mampu berlaku adil tanpa khuatir terjatuh dalam kezaliman seperti keterangan surah al-Nisa’, ayat 3.

- Isteri pertama memiliki kemaslahatan agar tiada yang mengganggu suami dan keluarganya, maka dia ada hak menolak untuk dimadu.

- Suami memiliki kemaslahatan takut terjebak ke dalam zina dan kemaslahatan untuk mendapatkan zuriat, maka dia ada hak dalam isu poligami.

- Isteri kedua memiliki kemaslahatan untuk tidak hidup menjadi anak dara tua atau menjada, maka dia juga ada hak dalam isu poligami.

- Begitu juga masyarakat, mereka memiliki kemaslahatan untuk melindungi warganya, maka mereka ada hak menyokong pernikahan yang bertanggung jawab dan sebaliknya.

Hal ini untuk masalah poligami sahaja bukan masalah-masalah lain yang dibangkitkan oleh SIS. setiap masalah ada analisa yang tersendiri, mana masih dalam batasan dan mana di luar batasan.

Kita beruntung berada di dalam sebuah agama fitrah yang mengiktiraf perbezaan pendapat kerana ia suatu lumrah. Perbezaan pendapat selagi mana berdasarkan hujah dan dalil yang jujur dan sahih, samada BETUL atau SALAH kedua-duanya dalam DAERAH PAHALA, samada SATU atau DUA pahala.

اذا اجتهد الحاكم واصاب فله اجران واذا اجتهد فأخطأ فله اجرا واحد
(رواه البخارى ومسلم)

“Apabila seseorang hakim menjatuhkan hukuman lalu ia berijtihad dan didapati apa yang ia ijtihadkan itu benar, maka ia mendapatkan 2 pahala, sekiranya pula ia menjatuhkan hukuman dan berijtihad serta salah maka ia mendapat satu pahala sahaja.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Semoga kita dijauhkan daripada fitnah akhir zaman yang diingatkan dalam hadis Nabi ini tentang buruk-memburuk, kafir-mngkafir, fitnah-memfitnah...doakan sama-sama.

Akak selesa dengan pendapat jumhur dalam isu ini bukan kerana ia jumhur tetapi sudah tentu kerana kekuatan hujahnya bagi pendapat akak...sebab tu setiap pendapat perlu dianalisa dan dibahaskan, bukan terus dipegang.

Kesiqahan ita kepada suatu organisasi atau ulama' tak menghalang kita untuk berbeza pendapat dalam permasalahan tertentu. Ia tak mengurangkan kesiqahan kita itu.

Berlapang dada. Berbaik sangka.

by Fatimah Syarha

No comments:

Post a Comment