Pages

Monday 3 October 2011

Pengaruh Garam dalam Masyarakat dan Petua Melayu


Pengaruh Garam dalam Masyarakat dan Petua Melayu

by ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA on Friday, 11 February 2011 at 01:19
Masyarakat Melayu lama mempunyai banyak petua tentang garam. Garam dianggap sebagai bahan masakan yang amat perlu untuk menambah kelazatan masakan. Garam juga boleh membawa banyak kesan kepada manusia. Angin, gastrik, kejang, kesakitan dan bisa-bisa adalah berpunca daripada faktor kekurangan garam. Kandungan natrium dan klor dalam garam memang diperlukan tubuh untuk menjaga keseimbangan asid dan mengawal tekanan osmotik. Biarpun garam dikatakan dapat meneutralkan unsur asid di dalam perut, pengambilan sodium yang berlebihan akan mengakibatkan banyak penyakit seperti darah tinggi. Lebih teruk lagi, garam yang berlebihan boleh mengikis kalsium sehingga menyumbang ke arah reput tulang.

Sebenarnya, garam yang kita gunakan dalam masakan mengandungi banyak sodium berbanding garam yang terdapat pada laut Mediterranean yang lebih semula jadi dan mengandungi banyak potasium. Garam laut Mediterranean dan laut mati mempunyai kekuatan kestabilan pada unsur darah tubuh iaitu sistem tulang. Mengikut kajian saintifik, garam didapati hasil daripada bunyi yang amat ditakuti oleh unsur-unsur jahat. Garam amat ditakuti oleh segala binatang berbisa dan sering menjadi penawar atau teman kepada orang yang ingin memasuki hutan rimba. Kalau halaman rumah penuh dengan siput babi, taburan garam dipercayai dapat menghalau siput babi itu.

Sering juga, orang Melayu menggunakan garam untuk menyemah rumah. Menyemah rumah adalah satu upacara untuk menghalau gangguan unsur ghaib seperti jin dan syaitan. Upacara menabur garam ini juga disebut 'pagar rumah'.
Kepercayaannya, rumah yang tidak dipagar boleh menjadi punca anak-anak keras hati, bayi menangis tak henti-henti tanpa sebab, suami isteri sering bertengkar dan rumah jadi 'panas'.

Dalam upacara 'pagar rumah', biasanya, garam kasar akan ditabur di semua penjuru dalam dan luar rumah sambil membaca ayat kursi berulang-ulang. Ada beberapa tertib perlu diikut dalam memagar rumah. Antaranya, penghuni rumah tidak boleh melakukan maksiat dan mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak boleh meninggalkan suruhan Tuhan seperti solat lima waktu. Jika tidak diturut, 'pagar' tadi akan terlerai. Dipercayai, rumah yang sudah 'dipagar' tidak boleh dimasuki sesiapa yang berniat jahat. Jika penceroboh dapat masuk sekalipun, penceroboh itu tidak akan dapat keluar sehinggalah tuan rumah menangkapnya. Namun pantangnya, jika tuan rumah berjaya menangkap si penceroboh itu, penceroboh tidak boleh dipukul atau diapa-apakan. Tuan rumah mestilah melepaskannya dengan hanya memberi nasihat kepadanya supaya bertaubat.

Petua tentang garam juga banyak diperturunkan oleh orang tua dahulu. Jika sakit gusi atau gigi, berkumurlah dengan air garam. Kalau gusi atau mulut pecah-pecah (ulcer), bubuh sahaja secubit garam pada luka itu. Jika kaki pecah-pecah, kulit kaki mengelupas, kaki berbau, kaki rasa pegal-pegal, rendamlah kaki dalam air garam. Jika kulit seakan bersisik atau bermasalah, mandilah air garam atau air laut. Sesungguhnya, ramai yang telah pun meraih manfaat daripada petua garam ini.

Garam memang banyak kegunaannya dalam kehidupan manusia. Tanpa teknologi peti ais, makanan boleh bertahan lama dengan cara mengawet menggunakan garam. Itulah sebabnya antara makanan Melayu, terdapat ikan masin, telur masin, sayur masin, asam masin dan jeruk. Jeruk terdiri daripada buah-buahan belum matang yang diawetkan dengan garam dan gula, kemudian diperap semalaman. Jeruk dapat dimakan begitu sahaja dan menjadi kesukaan perempuan mengandung.
Kemungkinan, jeruk terhasil kerana sikap masyarakat Melayu yang tidak suka membazir. Buah-buahan belum matang mungkin gugur dari pohonnya disebabkan angin kuat atau angkara monyet. Disebabkan tidak mahu membazir, makanan itu diawetkan menjadi jeruk.

'Banyak asam banyak garam, banyak macam banyaklah ragam'. Sememangnya dalam masakan, orang Melayu perlu pandai mengagak dengan deria rasa. Jika asam dimasukkan ke dalam lauk secara berlebihan, akan mengakibatkan masakan masam. Kalau garam pula berlebihan, masakan jadi masin. 'Asam garam kehidupan' membawa erti segala pengalaman hidup yang pelbagai - kadangkala baik, kadangkala buruk. Justeru siapa yang lebih banyak 'makan garam' sudah tentu orang-orang tua kerana mereka telah lama hidup dan telah melalui pelbagai pengalaman. Orang yang lebih muda sememangnya patut menghormati orang-orang tua dan mempelajari nilai-nilai yang baik melalui mereka. Namun kenapa pula asam dikaitkan dengan garam?



No comments:

Post a Comment