Pages

Thursday 13 October 2011

WAJIB BERSIKAP IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU DAN AMAL IBADAT


WAJIB BERSIKAP IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU DAN AMAL IBADAT

by Muhamad Zaki Ibrahim on Saturday, 14 August 2010 at 13:25
Hadis Ketiga Puluh Tiga
33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)33-
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak."
( Abu Daud dan Ibnu Majah)


Hadis yang ketiga puluh tiga ini menerangkan:
Orang yang mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat habuan dunia, buruk padahnya.
Huraiannya:
Tiap-tiap perbuatan adalah dinilai menurut tujuan orang yang melakukannya. Sesuatu perkara yang dilakukan oleh dua orang dengan tujuan yang berlainan, maka berlainan pula nilainya, kerana tujuanlah yang mendorong seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu.
Ilmu agama - sebagaimana yang sedia diketahui - adalah dan Allah, untuk menjalankan perintah-perintah Allah dan beramal kerana Allah.

Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya sungguh-sungguh kerana Allah, bukan kerana kepentingan dunia. Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa orang yang menuntut ilmu agama untuk mendapat habuan dunia semata-mata, maka ia bukan sahaja tidak memasuki syurga bahkan tidak dapat mencium baunya, kerana orang yang demikian telah menyelewengkan agama Allah dan telah menjualnya dengan habuan-habuan dunia. Oleh itu sudah selayaknya ia menerima balasan yang seburuk-buruknya. Dalam pada itu, janji balas buruk yang tersebut dalam hadis ini, tidak ditimpakan kepada orang yang menuntut ilmu agama dengan ikhlas, kemudian ia beroleh habuan dunia sebagai nikmat pemberian yang disegerakan Tuhan kepadanya, maka orang yang demikian tidak dikeji oleh syarak, kerana ia tidak menyelewengkan agama Allah dan tujuannya yang sebenar.

Mengenai hal ini, Imam Ghazali dan alim ulamak yang lain telah membahagikan penuntut-penuntut ilmu kepada tiga bahagian:

Pertama - Orang yang menuntut ilmu kerana Allah dan untuk keselamatannya pada hari akhirat, maka ia adalah dari orang-orang yang berjaya!
Kedua - Orang yang menuntut ilmu untuk mendapat kemuliaan, kebesaran dan harta kekayaan, dalam pada itu ia menyedari akan tujuannya yang buruk itu. Orang yang demikian, jika ia bertaubat dan menyelamatkan dirinya dan perbuatannya yang salah itu maka ia akan termasuklah dalam golongan orang-orang yang berjaya, kerana orang yang bertaubat dari dosanya akan menjadilah ia sama seperti orang yang tidak berdosa; dan jika ia mati sebelum bertaubat, adalah ditakuti ia akan mati dalam keadaan Su' al-Khatimah", semoga Allah melindungi kita daripada keadaan yang demikian dan dari segala yang membawa kepada "kesudahan yang buruk" itu.
Ketiga - Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan mendapat harta kekayaan dan pangkat kebesaran, dengan menyangka bahawa ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah, kerana ia berlagak seperti alim ulama pada pakaian dan tutur katanya; maka orang yang demikian adalah dari golongan yang binasa, kerana ia dihalangi dari bertaubat oleh sangkaannya bahawa ia berada di atas jalan yang benar.

Pendeknya orang yang menuntut ilmu dikehendaki menentukan niat dan tujuannya pada tiap-tiap masalah secara khusus satu persatu, atau secara umum - bahawa ia mempelajari ilmu itu ialah untuk menunaikan fardu ain" yang ditanggungnya untuk kewajipan dirinya sendiri, dan yang lebih dan itu hendaklah diniatkan untuk disampaikan kepada orang ramai sebagai "fardu kifayah"; dan janganlah diniatkan sebagai perkara "sunat" kerana pahala "perkara yang difardukan" adalah lebih besar dari itu.
Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya dengan ilmu yang diajarkannya itu akan dapat mencapai jalan yang menyampaikan faedahnya kepada segala lapisan masyarakat, dengan perantaraan murid-muridnya dan murid-murid kepada murid-muridnya, meliputi ilmu dan amal yang terus menerus hingga hari qiamat.

Demikian juga hendaklah ia menentukan niat dan tujuannya untuk menyekat dirinya dari melakukan maksiat dengan berlaku taat kepada Allah dan juga menyekat dirinya dari perkara-perkara yang sia-sia dan merugikan.
Menurut Imam Al-Qarafi, bahawa sesiapa yang mengajarkan ilmu kepada orang ramai dengan tujuan hendak menjadi orang yang masyhur dan terpuji, maka perbuatannya yang demikian menjadi sebab untuk ia dipulaukan dan tidak diambil ilmu yang disampaikannya.

No comments:

Post a Comment