Pages

Wednesday 5 January 2011

CARILAH REZEKI YANG HALAL DAN AMALKAN SEBAB-SEBAB DIMURAHKAN REZEKI

CARILAH REZEKI YANG HALAL DAN AMALKAN SEBAB-SEBAB DIMURAHKAN REZEKI

by Bicara Ad-din on Monday, 24 May 2010 at 12:52
 
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Setiap individu memerlukan nafkah hidup bagi menyambung kehidupan seharian. Mencari nafkah adalah dituntut oleh Islam agar kita dapat meneruskan ibadat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Untuk mendapatkan nafkah yang HALAL hendaklah dengan pekerjaan yang DIHALALKAN atau diharuskan. Berusaha mencari yang HALAL itu merupakan suatu yang diwajibkan oleh syarak sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:



Maksudnya: "Mencari yang HALAL adalah wajib atas setiap Muslim” (Hadis riwayat ad-Dailami).

Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang memerintahkan manusia supaya memakan REZEKI yang HALAL dan baik, antaranya:

Allah Ta‘ala telah berfirman:

Tafsirnya: "Wahai manusia! Makanlah sebahagian dari makanan yang ada di bumi ini, yang HALAL dan baik, dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata” (Surah al-Baqarah:168).

Firman-Nya lagi:

Tafsirnya: “Dan makanlah dari REZEKI yang diberi Allah kepada kamu, iaitu yang HALAL lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman” (Surah al-Mâidah:88).

Dengan memakan yang HALAL itu akan menambahkan cahaya pada hati serta melembutkannya. Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusukkan terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan melakukan ketaatan, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambah ingatan terhadap Hari Akhirat. Semua sifat-sifat tersebut akan menjadi sebab utama diterima amal soleh dan terkabulnya doa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam pernah berkata kepada Sa‘ad bin Abi Waqqash Radhiallahu ‘anhu:



Maksudnya: "Pilihlah makanan yang HALAL, nescaya doamu dikabulkan”.

Zaman sekarang tidak dinafikan manusia berlumba-lumba mencari REZEKI untuk menampung kehidupan. Pelbagai usaha di atur untuk mendapatkannya, malah sebilangan orang ada yang berani melampaui batas-batas syarak dalam mencari REZEKI daripada pekerjaan yang haram seperti mencuri, menipu, mengamalkan rasuah, memakan riba dan berjudi.

Risiko orang yang memakan harta yang diperolehi dengan cara yang haram telah diberi peringatan oleh Rasullullah Shallallahu
‘alaihi Wasallam sepertimana disebutkan dalam beberapa hadis Baginda, antaranya Baginda bersabda:



Maksudnya: "Tidak akan memasuki Syurga daging yang tumbuh daripada yang haram” (HR.al-Imam Ahmad).

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: "Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api Neraka lebih utama menerimanya” (HR.at-Thabrani).

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengumpul harta daripada jalan yang tidak HALAL, kelak apabila dia bersedekah dengan harta tersebut tidak akan diterima sedekahnya, dan jika dia membelanjakannya tidak akan diberkati perbelanjaannya dan jika ditinggalkannya sebagai harta pesaka, akan menjadilah harta itu sebagai kayu api yang kekal membakarnya di dalam Neraka” (HR.al-Imam Ahmad).

Ibnu al-Mubarak Rahimahullahu Ta‘ala berkata: “Menolak satu dirham yang ada syubhah adalah lebih dicintai Allah Subhanahu Wa Ta‘ala daripada bersedekah dengan seratus ribu dirham, kemudian ditambah lagi dengan seratus ribu yang lain, seratus ribu yang lain, hingga ia kira enam ratus ribu dirham”.

Sebab-sebab dimurahkan REZEKI
Ada di antara kita yang merasa gelisah kerana tidak mendapat REZEKI yang mencukupi untuk keperluan hidup walhal dia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Perlulah diingat bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang menganugerahkan REZEKI kepada mereka yang dikehendaki-Nya. Firman Allah Ta‘ala:



Tafsirnya: "Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi REZEKI kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah asy-Syura:19).

Kita perlu sedar juga bahawa cukup atau tidak REZEKI yang kita terima itu bukanlah diukur dengan kuantitinya semata-mata, tetapi yang penting ialah keberkatannya. Tanpa keberkatan ini REZEKI yang banyak sekalipun manusia tidak akan merasa cukup dan puas.

Dalam Islam terdapat beberapa sebab yang boleh mendatangkan REZEKI yang luas jika kita mengamalkannya. Di antara sebab-sebab itu adalah seperti berikut:

1) BERTAKWA Kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
BERTAKWA kepada Allah Ta‘ala itu ialah dengan mentaati segala perintahNya, dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Orang yang tidak mentaati Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu mengingkari suruhan dan laranganNya, bererti orang itu tidaklah tergolong daripada orang-orang yang BERTAKWA.

Bagi orang-orang yang BERTAKWA ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjanjikan kepada mereka limpahan REZEKI, malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengurniakan kepada mereka jalan keluar daripada segala kesusahan. Ini jelas seperti Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang BERTAKWA kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), (2) Serta memberinya REZEKI dari jalan yang tidak terlintas di hatinya” (Surah ath-Thalaq:2-3).

Ayat di atas menerangkan bahawa sesiapa yang BERTAKWA kepada Allah Ta‘ala dengan mengerjakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya, maka Allah jadikan urusannya ada jalan keluar dan REZEKI yang tidak terlintas dihatinya.

Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah melimpahkan keberkatanNya dari langit dan bumi kepada orang-orang yang beriman dan BERTAKWA sepertimana firmanNya:

Tafsirnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta BERTAKWA, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Surah al-A‘raf:96).

Ayat di atas menerangkan tentang sebuah penduduk negeri yang tidak beriman apabila diutuskan kepada mereka seorang Rasul. mereka telah dijanjikan oleh Allah Ta‘ala keberkatan REZEKI kepada mereka dari langit dan bumi dari sumber hujan dan
tumbuh-tumbuhan jika mereka beriman dengan kedatangan Rasul itu, mempercayainya, mengikutinya dan BERTAKWA dengan membuat ketaatan dan meninggalkan perkara yang haram. Akan tetapi, mereka telah mendustakan Rasul itu maka Allah Ta‘ala menimpakan kepada mereka kebinasaan disebabkan keengganan mereka untuk beriman, BERTAKWA dan perlakuan dosa serta perkara haram yang mereka telah lakukan.

Maka jelaslah bertakwa kepada Allah Ta‘ala adalah di antara penyebab diperluaskan REZEKI.

2) BERTAUBAT Dan BERISTIGHFAR
BERTAUBAT ialah meninggalkan dosa kerana keburukkannya, merasa menyesal setelah melakukannya dan berazam untuk tidak
melakukannya. Jika berhubung-kait dengan hak orang lain, maka hendaklah disertai dengan memohon maaf kepada orang itu agar
diampunkan daripada dosa yang telah dilakukan terhadapnya dan mengembalikan hak orang yang telah dizaliminya.

BERTAUBAT dengan segera daripada segala maksiat hukumnya adalah wajib sebagaimana yang disepakati oleh para ulamak. Sama ada BERTAUBAT daripada dosa kecil mahupun dosa besar. Ketika BERTAUBAT ini, disunatkan BERISTIGHFAR kepada Allah Ta‘ala daripada setiap dosa yang dilakukan.

Jika dosa itu antara hamba dengan Allah, yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia maka syaratnya ada tiga, jika salah satunya hilang, maka taubatnya tidak sah iaitu:

1. Hendaknya menjauhi maksiat tersebut.
2. Menyesali perbuatan (maksiat)nya.
3. Berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.

Jika taubat itu berkaitan dengan manusia maka syaratnya ada empat iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan tambahan yang keempat iaitu:

1. Hendaknya menjauhi maksiat tersebut.
2. Menyesali perbuatan (maksiat)nya.
3. Berusaha untuk tidak mengulanginya lagi.
4. Hendaknya membebaskan diri dengan memenuhi hak orang tersebut. Jika berbentuk harta benda maka hendaklah dia mengembalikannya. Jika berupa Qisas maka hendaklah dia memberitahu dan memberi kesempatan untuk orang itu membalasnya dan meminta maaf kepadanya. Jika berupa ghibah (mengumpat) maka ia harus meminta maaf.

Dalam al-Qur’an ada disebutkan bahawa BERTAUBAT dan BERISTIGHFAR adalah di antara sebab diperluaskan REZEKI. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian BERTAUBATLAH kepadaNya; supaya Dia menurunkan hujan lebat kepada kamu serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu berpaling daripada seruanku dengan terus menerus melakukan dosa (yang mendatangkan kebinasan)” (Surah Hud:52).

Ayat ini menerangkan bahawa Nabi Hud ‘alaihissalam telah memerintahkan kaumnya iaitu kaum ‘Aad untuk BERISTIGHFAR dan
BERTAUBAT supaya dikurniakan hujan yang lebat dan diampunkan dosa yang telah lalu iaitu dosa menyekutukan Allah dan
menyembah berhala, kerana sesiapa yang BERTAUBAT dan BERISTIGHFAR maka akan dimurahkan Allah Ta‘ala REZEKINYA, dan dipermudahkan urusannya dan mendapat perlindungan daripadaNya jua dalam keadaan negeri yang kering kontang kerana
ditimpa kemarau, hujan memang menjadi sebesar-besar rahmat.

Begitu juga dengan memohon ampun kepada Allah Ta‘ala akan mendapat REZEKI sepertimana disebutkan dalam al-Qur’an. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: "Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak–pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)” (Surah Nuh:10-12).

Tersebut di dalam Tafsir al-Qurthubi satu riwayat bahawa beberapa orang lelaki pernah datang mengadu kepada al-Hasan al-
Bashri Rahimahullah, seorang dari kalangan tabi‘en mengenai masalah mereka; ada yang mengadu masalah kemarau, ada yang
mengadu tentang kefakiran, ada yang mengadu ingin dikurniakan anak dan ada yang mengadu kebunnya kering. Hasan menyuruh
mereka semua supaya BERISTIGHFAR kepada Allah. Lalu apabila ditanya kepada beliau (al-Hasan al-Bashri Rahimahullah) kenapa perlu BERISTIGHFAR? Hasan al-Bashri Rahimahullah pun menjawab: "Sesungguhnya itu adalah firman Allah Ta‘ala dalam Surah Nuh”.

Maka jelaslah bahawa firman Allah Ta‘ala dalam Surah Nuh dan Surah Hud adalah sebagai dalil yang nyata bahawa mengamalkan ISTIGHFAR itu adalah di antara sebab dilimpahkan REZEKI seperti hujan.

Tambahan lagi Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam pernah bersabda, bahawa sesiapa yang selalu BERISTIGHFAR maka dilimpahkan oleh Allah Ta‘ala REZEKI yang tidak terlintas dihatinya. Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa
Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang selalu mengamalkan ISTIGHFAR, Allah jadikan baginya bagi setiap kesempitan jalan keluar dan bagi setiap kesusahan itu kelapangan dan memberikannya REZEKI yang tidak terlintas di hatinya” (HR.Abu Daud).

3) BERTAWAKKAL
TAWAKKAL ialah berserah diri kepada Allah Ta‘ala dan berpegang teguh kepadaNya dalam semua perkara-perkara yang wajib. Perintah BERTAWAKKAL ada disebutkan dalam al-Qur‘an sepertimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: "Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu BERTAWAKKAL” (Surah Ali-‘Imran:122).

Perkara BERTAWAKKAL sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur‘an dan hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam adalah di antara sebab diperluaskan REZEKI. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu” (Surah ath-Thalaq:3).

Dalam hadis disebutkan, Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘Anhu berkata bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi
Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika sesungguhnya kamu BERTAWAKKAL kepada Allah Ta‘ala dengan sebenar-benar TAWAKKAL, maka akan diberikan REZEKI kepada kamu sepertimana REZEKI yang diberikan kepada seekor burung yang menjamu makanan di awal pagi ketika sedang lapar dan kembali setelah perut penuh (iaitu sesudah merasa kenyang)” (HR.at-Tirmidzi).

Hadis di atas menerangkan bahawa jika seseorang itu benar-benar BERTAWAKKAL kepada Allah Ta‘ala dengan keyakinan bahawa Allah Ta‘ala yang melakukan semua itu dan tiada yang memberi REZEKI melainkan Allah Ta‘ala jua dan tiada yang berkuasa menghalang melainkan Allah Ta‘ala jua di samping berusaha bersungguh-sungguh dengan BERTAWAKKAL, nescaya akan dilimpahkan REZEKI sepertimana REZEKI yang dilimpahkan kepada burung.

4) Menghubungkan SILATURRAHIM
Menghubungkan SILATURRAHIM juga adalah di antara sebab-sebab dimurahkan REZEKI. Dalil mengenai perkara itu banyak disebutkan dalam hadis-hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘Anhu, bahawa sesungguhnya Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang suka dimurahkan REZEKINYA dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya (SILATURRAHIMNYA)” (HR.Muslim).

Maka hadis di atas menerangkan bahawa menghubungkan SILATURRAHIM itu memberikan natijah (kesudahan) yang baik seperti diperluaskan REZEKI dan dipanjangkan usia.

Ulamak bersepakat mengatakan bahawa mengeratkan SILATURRAHIM sesama saudara hukumnya adalah wajib. Kewajipan mengeratkan SILATURRAHIM itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah Ta‘ala sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya (SILATURRAHIMNYA)” (HR.Bukhari).

Sementara hukum memutuskan SILATURRAHIM pula adalah haram dan dikira sebagai melakukan maksiat besar dan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana firmanNya:

Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan jika-kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan SILATURRAHIM dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya” (Surah Muhammad:22-23).

Manakala akibat orang yang memutuskan SILATURRAHIM pula, tidak akan masuk Syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Tidak masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan” (HR.Muslim).

Antara cara untuk mengeratkan hubungan SILATURRAHIM ialah dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan, memberi keceriaan muka atau keramahan, mendoakan, memenuhi dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.

Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka.

Dalam kitab Bujairimi ‘Ala al-Khathib disebutkan bahawa mengeratkan SILATURRAHIM adalah di antara sebab-sebab mendapat REZEKI yang berkat dan dipanjangkan umur.

Penutup
Sebagai kesimpulan tidak diragukan lagi bahawa apa yang diterangkan dalam al-Qur’an dan hadis bahawa:
1. BERTAKWA kepada Allah Ta‘ala
2. BERTAWAKKAL
3. BERISTIGHFAR dan memohon ampun (BERTAUBAT) kepadaNya
4. Menghubungkan SILATURRAHIM
adalah di antara penyebab seseorang hamba itu dikurniakan limpahan REZEKI dan keberkatannya. Maka sayugialah kita berusaha untuk beriltizam dengan perkara-perkara ini, kerana selain ia penyebab atau faktor yang boleh mempeluaskan REZEKI, amalan-amalan itu juga adalah amalan yang dituntut dan disukai Allah Ta‘ala.

RENUNGAN: PERIHAL REZEKI
Padahal awal2 lagi dalam "Kitab Umum-Jilid 9, Bab REZEKI, JODOH & AJAL (PERKARA YANG EMPAT), m/s.4" ada mengatakan seperti dibawah:

REZEKI
Adapun REZEKI itu terbahagi kepada empat perkara, iaitu:

1. REZEKI SYAITAN
Yakni mereka yang mendapat REZEKI dengan secara maksiat seperti mencuri, menipu, menyamun dan segala cara-cara REZEKI yang tidak HALAL pada Hukum Islam, tetapi dia hidup dengan REZEKI itu. Pendek kata segala apa jua REZEKI yang didapati seseorang sepertimana cara SYAITAN mendapatkan REZEKINYA atau kerana ada ilmunya meminta pertolongan daripada SYAITAN supaya dia hidup dengan REZEKI yang banyak, maka itulah dinamakan REZEKI SYAITAN.

2. REZEKI JIN
Adapun REZEKI JIN itu kerana ada ilmunya meminta pertolongan daripada JIN supaya dia hidup dengan REZEKI yang mewah. Setengah-setengahnya minta pertolongan daripada pawang-pawang yang menyimpan JIN supaya hidupnya laris. Pendek kata segala apa jua REZEKI adalah bergantung kepada JIN-JIN yang ghaib, maka itulah dinamakan REZEKI JIN.

3. REZEKI MALAIKAT
Yang dikatakan REZEKI MALAIKAT itu dia Sembahyang Hajat, kemudian bermohon kepada MALAIKAT dan dia berdoa melalui MALAIKAT, misalnya dia bermohon kepada MALAIKAT MIKAIL yang memegang REZEKI. Pendek kata, siapa yang memohon daripada MALAIKAT, maka REZEKINYA dinamakan REZEKI MALAIKAT.

4. REZEKI ALLAH
Makan REZEKI ALLAH itu yang datang dari ALLAH menurut apa yang tertulis di dalam Loh Mahfuz. Bagi mendapatkan REZEKI ALLAH ini, seseorang itu hendaklah rajin dalam usahanya, hendaklah bekerja kuat dan tidak boleh berpeluk tubuh. REZEKI secara ini sebahagian daripadanya datang melalui otak fikiran manusia, ada sebahagian yang datang melalui suara manusia dan ada juga sebahagian yang lain yang mendatang melalui kaki tangan manusia, masing-masing dengan cara-caranya sendiri.

Adapun, REZEKI SYAITAN adalah REZEKI yang HARAM..
REZEKI JIN adalah REZEKI yang ada HALAL & ada HARAM..
REZEKI MALAIKAT adalah REZEKI yang HALAL..
REZEKI ALLAH adalah REZEKI yang HALAL lagi berkat..

Renungkanlah dari cabang mana satu datangnya REZEKIMU itu ?????

No comments:

Post a Comment