Pages

Wednesday 12 January 2011

takrif Tawassul menurut Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah


by Adnan Che Abu on Monday, 20 September 2010 at 12:42
Mari kita lihat takrif Tawassul menurut Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah  (sebagaimana sepengetahuan saya) :
  1. ما يتقرب إلى الغير
  2. وسلت إلى الله بالعمل
  3. ألوسيلة هي التي يتوصل بها إلى تحصيل المقصود
  4. إن الوسيلة هي القربة
  5. توسل إليه بوسيلة إذا تقرب إليه بعمل
Demikian ialah pengertian Tawassul dari sudut lughah/bahasa yang terdapat dalam  Tafsir Ibn Katsir dan Ibn Abbas juga tertera dalam Kitab Lughah iaitu kitab Lisan-ul-Arab juz XIV  mukasurat 250.


     Pengertian Tawassul menurut Istilah pula ialah:
  1. Syeikh Abu Nizam dalam Syarah Kitab ad-Durratus-Saniyah , Tahlil at-Tawasssul wal-Istighothah wal-Qubur menyatakan ;
ألوسيلة هي التي يتوصل بها إلى تحصيل المقصود, وقيل الوسيلة هي المحبة فى الله عزوجل.

وعن ابن عباس رضي الله عنهما ألوسيلة هي القربة.

Maksudnya ; Wasilah adalah yang menyampaikan dengannya kepada menghasilkan tujuan atau maksud. Sesetengah mengatakan wasilah adalah rasa cinta pada Allah Azza wa Jalla . dan daripada Ibn Abbas r.a. , wasilah adalah ibadat ( yang mendekatkan).

     Demikian juga Syeikh Idris Abdul Rauf al-Marbawi dengan pendapat yang sama.
  1. As-Sayid Habib Hasan as-Saqaf  dalam kitabnya Bahjatul-Nadhir fit-Tawassul bin-Nabiy at-Tohir menyatakan ;
فأما التوسل فمعناه لغة ؛ ألتقرب .وأما إصطلاحا ؛ فهو التقرب والتشفع إلى الله عزوجل بمنزلة نبي أو ولي أو بالطلب من النبي أو الولي للدعأ للمستشفع بهم أن يقضي الله حاجته بشرط أن يكون المتوسل موءمنا مقبلا على الله راغبا .


Maksudnya ; Makna tawassul dari segi bahasa ialah menghampirkan diri (taqarrub). Makna dari segi istilah ialah menghampirkan diri dan memohon syafa’at kepada Allah Azza wa Jalla dengan perantaraan kedudukan atau darjat seseorang Nabi atau Wali atau meminta dengan do’anya Nabi atau Wali untuk mensyafa’atkan terhadap mereka yang meminta agar Allah memenuhi/menunaikan hajatnya dengan syarat adalah ia seorang mukmin yang sangat cenderung ia kepada Allah dan gemarkanNYa.





DASAR  HUKUM WASILAH (MENURUT AHLUS-SUNNAH WAL-JAMA’AH).

Perkara dasar hukum wasilah terdapat dalam firman Allah S.W.T. dalam al-Quran :

يأيها الذين ءامنوا التقوا الله وابتغوآ إليه الوسيلة وجهدوا في سبيله لعلكم تفلحون .
(سورة ألمائدة : 35 )


Maksudnya ; Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan perantaraan) yang boleh menyampaikan kamu kepadaNYA dan berjuanglah pada jalan Allah ( untuk menegakkan Islam ) supaya kamu semua beroleh kejayaan.

( Surah al-Maidah : 35 )
  1. Tafsir al-Khazin menyatakan :
إبتغوا إليه الوسيلة يعنى واطلبوا إليه القرب بطاعته والعمل بما يرض .

Maksudnya ; Carilah jalan perantaraan yang boleh menyampaikan kepadaNYA dengan mentaatiNYA dan mengamalkan sesuatu yang diredhaiNYA.
  1. Terbahagi Tawassul itu kepada dua bahagian iaitu Tawassul  Masyruq dan Tawassul Mamnuq.
Tawassul Masyruq itu seperti  ;

a)    Tawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifat KesempurnaanNYA.
b)    Tawassul dengan amal soleh.
c)    Tawassul dengan doa’ orang-orang soleh.

        Tawassul Mamnuq itu adalah bertawassul dengan segala jenis perkara atau benda yang menjauhkan diri dengan Allah atau yang yang menjadi kemurkaan dan kebencian Allah.  Ini  adalah haram.

           Contoh bentuk tawassul yang dibenarkan ialah :

          1.     إن عمر بن الخطب رضي الله عنه كان إذا قحطوا إستسقى  بالعباس بن عبد المطلب وقال ؛ أللهم كنا  نتوسل إليك بنبينا صلى الله عليه وسلم فتسقينا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا فاسقينا .                                      


          Maksudnya :
           Bahawa Umar bin al-Khattab r.a. apabila mereka ( para sahabat) ditimpa kemarau, memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan dengan berwasilah kepada Abbas bin Abdul-Muttalib dan mengucapkan ; “ Ya Allah, telah pun kami  mohon padaMU dengan berwasilahkan Nabi kami S.A.W. lantas Engkau turunkan hujan pada kami. Dan sekarang kami  mohon padaMU berwasilahkan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan atas kami.”

( Hadis Riwayat Imam Bukhori r.h.m.)

  1. يا رب بالمصطفى بلغ مقاصدنا * واغفرلنا ما مضى يا واسع الكرم    
Maksudnya :

“Ya Tuhan, demi kebesaran Rasul pilihanMu sampaikanlah maksud (cita-cita ) kami,
 ampunilah segala dosa-dosa kami yang telah lalu wahai Tuhan Yang Maha Luas  Pemurah Kurnia KeampunanNya.”

(Al-Habib Abdullah al-Haddad, Sohibur-Rotib.)


4.     صلاة الله سلام الله * على طه رسول الله          صلاة الله سلام الله * على يس حبيب الله



      توسلنا ببسم الله * وبالهادي رسول الله          وكل مجاهد لله  *  بأهل البدر  يا ألله

Maksudnya :
“Solawat dari Allah Salam dari Allah ke atasmu Toha Rasulullah,
Solawat dari Allah Salam dari Allah bagi mu Yaasin Kekasih Allah,
Kami bertawasul dengan Nama Allah dengan Pertunjuk Rasullulah dan
Keseluruhan pejuang Allah dengan berkat Ahli Badar Ya Allah.”

( Sohibur-Ratib.)


Dan terdapat banyak lagi contoh-contoh tawassul yang di amalkan oleh ulama-ulama Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah yang tidak dapat dimuatkan di sini. Silalah rujuk kitab-kitab berkaitan dan rujuklah ulama yang beramal.


SIAPAKAH YANG DISEBUT AHLUS-SUNNAH WAL-JAMA’AH



 Bagi meringkaskan persoalan ini, tersebut dalam  kitab Al-Majalisus-Saniyyah , mukasurat 88 seperti berikut :

وقال سيدي عبد القادر الجيلاني قدس الله سره في كتاب الغنية ويجب على الموءمن اتباع السنة والجماعة فالسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم , والجماعة ما اتفق عليه أصحابه رضى الله عنهم أجمعين في خلافة الأئمة الأربعة الخلفاء الراشدين المجتهدين رضي الله عنهم أجمعين .


Maksudnya ;
Telah berkata Pimpinanku Syeikh Abdul Qodir-ul-Jilani Qaddas-AllahuSirrahu dalam Kitab al-Ghunyah nya :”Maka  wajiblah ke atas orang beriman ketetapan mengikuti Sunnah dan Jama’ah . Maka  erti Sunnah itu sesuatu yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W.  Dan erti  Jama’ah  itu ialah sesuatu yang disepakati oleh para sahabat r.a. ajma’in , pada khilafnya Imam-imam Mazhab yang empat , khalifah-khalifah yang berkepercayaan benar lagi terpimpin dengan pertunjuk yang lurus r.a. ajma’in.”


(Taudhih-ul-Adillah)

          Saya tertarik dengan Artikel  dalam ruangan ‘MINDA TAMU’ dalam sebuah majalah berbentuk agama pada bulan Mei 2003 yang patut diketahui bersama oleh penganut dan pecinta faham Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Artikel itu ditulis  as-Syeikh Dr. Hishamuddin  al-Qaraqira, Rektor Universiti Antarabangsa Beirut, Lubnan. Beliau merupakan pejuang Ahlus-Sunnah wal-Jamaah di sana. Artikel bertajuk ‘MENCARI ULAMA PEWARIS NABI’ itu menyatakan bahawa ijmak merupakan sumber perundangan Islam bersesuaian dengan Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Penolakan ijmak  dan Qias merupakan dosa besar !  Dalam artikel pada mukasurat 38 dan 39 itu jua menyatakan bahawa golongan Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah itu ialah mereka yang bepegang kepada fahaman Imam Asya’ari dan Imam Maturidi. Antara ulama muktabar yang berpegang dengan faham ini  ialah  al-Hafiz Imam Baihaqi, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar AsQalani, Imam Abu Ishak Asy-Syirazi, Sultan Solahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh dan pengikut fahaman Mazhab Imam Empat yang masyhur. Perlu diketahui bahawa Sultan Solahuddin Al-Ayyubi sangat menitikberatkan pegangan aqidah  Imam Abu Hasan al-Asyaari sehingga diperintahkan supaya kitab ‘Aqidah al-Asyaari’ dibacakan di atas menara setiap masjid sebelum  subuh.

           Kebenaran aqidah ini sebenarnya telah diakui oleh Rasulullah S.A.W. sendiri apabila Baginda  bersabda yang bermaksud :

“ Kota Konstantinaple pasti akan dibuka dan ditawan oleh seorang pemimpin agung yang adil serta pengikutnya yang setia.”

Kebanyakan para sahabat dan tabi’en berusaha membuka kota ini. Tetapi kota itu hanya berjaya dibuka oleh Sultan Muhammad Al Fateh yang berfahaman Imam Asya’ari yang berkeyakinan bahawa  wujud Allah itu tidak berjirim dan berjisim, ‘Kasif” atau “Latif” dan juga tidak bersandar zahir ayat semata-mata seperti faham Wahabi dan tidak juga berfahaman ‘Hulul’.
Kota itu dibuka oleh Sultan Muhammad Al-Fateh selepas 800 ratus tahun setelah kewafatan Rasulullah S.A.W.

           Saudara-saudara sekalian boleh merujuk Aqidah Al-Asyaariyah dan Al-Maturidiyah ini dalam kitab ‘Nur-uz-Zolam’ Syarhu  Manzumati A’qidatil-‘awwam : Lis-Syeikh Ahmad Al-Marzuki al-Maliki  al-Makkiy ; Ta’lif – ( As-Syeikh al-‘alim al-‘alamh Abi Abdil-Mu’ti Muhammad bin Umar bin ‘Ali  an-Nawawi  al-Jawi al-Bantani at-Tanaari r.h.m.
(نورالظلام  شرح منظومة عقيدة العوام ؛ للشيخ أحمد المرزوقي المالكي المكي .
تأليف ؛ ألشيخ العالم العلامة أبي عبدالمعطي محمد بن عمر بن علي نواوي الجاوي البنتني التناري
رحمه الله تعالى .

          Akhir kalam, saya sebagai hamba yang lemah dan serba kekurangan mengharapkan sekiranya ada kesalahan dan kesilapan dalam penulisan ini agar diperbetulkan dan diperbincangkan demi untuk kebaikan bersama. Jika ada manfaatnya, maka semoga Allah melimpahkan rahmat dan kasih-SayangNYA  untuk kita terus berada di atas landasan yang benar iaitu manhaj Ahlus-Sunnah wal-Jamaah sehingga ke akhir hayat kita. Amin.

            Al-Fatihah buat semua guru-guru yang sentiasa membimbing kita  ke jalan yang benar  sama ada guru itu masih hidup mahu pun yang telah pergi  meninggalkan kita ke alam lain. Wassalam.


-فقير المغفرة FAQIR-UL-MAGHFIRAH.
Adnan Che Abu. Ogos ‏2004‏‏-‏08‏‏-‏20‏

No comments:

Post a Comment