Pages

Sunday 23 January 2011

Apabila manusia tidak mahu beriman kepada Syariat Allah. Yang baik dikatakan tidak baik dan yang tidak baik dikatakan baik


by Ikhwan Al Malizi Abdullah on Saturday, 27 November 2010 at 20:35
 
Pada masa kini, heboh tentang perlaksanaan pendidikan seks bermula di sekolah rendah untuk tahun satu pada tahun hadapan. Idea ini sudah pastinya timbul pada saat-saat negara kita dipeningkan kepala kerana kes membuang bayi telah sampai ke kemuncak yang amat parah. Bukan sahaja pada bulan-bulan biasa akan tetapi pada bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan juga ada manusia yang berhati Iblis berani membuang anak. Ketika umat Islam sibuk beramal mengumpul pahala, mereka yang berhati Iblis ini melakukan dosa untuk menutup maksiat yang mereka lakukan

NEGARA MERDEKA

Sudah 50 tahun negara kita merdeka, selama lima puluh tahun tersebut pemimpin-pemimpin politik yang tidak mahu kepada Islam menguasai negara, selama inilah mereka tidak pernah kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang menimpa umat Islam. Sedangkan undang-undang ini merupakan undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT dan Allah SWT telah menjaminnya sebagai satu rang undang-undang yang terbaik dan menyelesaikan segala masalah yang menimpa manusia. Adakah pemimpin ini tidak beriman kepada undang-undang Islam? adakah mereka benar-benar beriman kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW?. Sebenarnya inilah satu persoalan yang sukar untuk dijawab, sedangkan pemimpin ini berbangsa melayu dan beragama Islam akan tetapi kenapa mereka masih menolak undang-undang Allah SWT di dalam menyelesaikan masalah yang melanda umat Islam. Mereka lebih suka dan senang mengambil undang-undang ciptaan akal manusia yang tidak sempurna dan bercanggah dengan fitrah manusia semulajadinya.

BUKAN MENUDUH

Saya bukanlah menuduh mereka kufur kepada Allah SWT, akan tetapi inilah persoalan yang sukar untuk jawab. Biasanya hanya mereka yang munafik sahaja yang tidak akan suka kepada undang-undang Islam, golongan munafik ini menzahirkan Islam akan tetapi di dalam hati mereka kebencian kepada agama Islam. Semuanya kita serahkan kepada Allah SWT untuk membuat penilaian sama ada mereka yang menolak rang undang-undang Allah SWT beriman atau pun munafik kepada Allah SWT.


BANDINGAN ANTARA KRISTIAN

Di dalam agama Kristian, di antara sebab kenapa berlakunya kerosakan di dalam agama mereka kerana para penganutnya tidak mahu mengikuti ajaran kitab bible yang mereka percayai sebagai Kalam Tuhan. Sebagai bekas penganut agama Kristian dan dididik sejak kecil tentang ajaran agama ini saya arif sangat dengan keadaan yang berlaku di dalam agama Kristian. Di dalam bible terang dan jelas Tuhan melarang penganutnya memakan daging babi, minum arak, berzina. Di dalam bible juga terdapat suruhan untuk melakukan hukum hudud dan qisas akan tetapi ulama-ulama Kristian tidak mahu mengikutinya sebaliknya menukar undang-undang ini mengikuti hawa nafsu mereka. Yang diharamkan dihalalkan dan yang di wajibkan ditinggalkan.

Berbalik kepada mereka yang tidak mahu mengakui dan mempercayai rang undang-undang Allah SWT, mereka ini sama kedudukannya dengan penganut agama Kristian yang engkar kepada perintah Tuhan mereka di dalam bible. Oleh itu sesiapa yang menolak al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW mereka sama seperti orang-orang Kristian yang menolak ajaran bible. Cuma yang membezakannya ialah mereka yang menolak undang-undang Islam ini beragama Islam manakalah mereka yang menolak undang-undang di dalam bible beragama Kristian akan tetapi sikap mereka adalah serupa.

Perlaksanaan pendidikan seks di sekolah untuk menyelesaikan masalah zina dan maksiat pada masa kini bukannya satu cara yang betul. Sebaliknya cara ini mendorong remaja untuk melakukan zina tersebut. Kita tidak mahu remaja di negara ini akan menjadi seperti remaja di negara barat. Di negara barat remaja sudah kehilangan maruah dan harga diri, pada mereka amalan seks di usia yang muda merupakan satu perbuatan yang bertamadun dan mereka bangga kerana dapat melakukannya. Tetapi bagi kita yang beragama Islam, budaya ini merupakan satu budaya haram, budaya tidak bertamadun, budaya yang songsang dan bercanggah dengan ajaran agama Islam. Sebagai penganut Islam, kita mestilah mempunyai maruah, kita merupakan umat yang terbaik dan seharusnya mempunyai akhlak yang terbaik dan pendekatan kita di dalam menyelesaikan segala masalah mestilah yang terbaik. Kita memiliki al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai penunjuk jalan yang benar.

NIKAH GANTUNG

Sebelum kita melihat perkara ini dengan lebih jauh, kita lihat dahulu apa sebabnya berlaku kes pembuangan bayi di kalangan remaja masa kini, antaranya kerana pengaruh yang melampau daripada hiburan, internet, VCD lucah, arak dan bermacam-macam lagi. Semuanya yang menjadi mangsa ialah remaja terutamanya remaja Islam. Akibat daripada rangsangan tersebut mereka pun ingin melakukannya untuk keseronokan tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang, akhirnya apabila mereka hamil mereka mengambil jalan pintas dengan membuangnya. Amat bertepatan dan sesuai apabila Ketua Dewan Pemuda sebuah parti politik  mencadangkan agar nikah gantung dilaksanakan untuk mengekang gejala zina di kalangan remaja. Akan tetapi amat malang apabila mereka sendiri yang berkerja di Jabatan Agama tidak bersetuju dengan mengatakan nikah gantung tidak ada di dalam Islam. Bagai saya, ini merupakan satu kenyataan bodoh yang tidak ada sikap sayang kepada agama dan bangsanya sendiri.

Nikah gantung lebih baik dilaksanakan daripada kita mengadakan pendidikan seks kepada pelajar dengan harapan mereka tidak melakukan zina. Sebenarnya di dalam hal ini, golongan ini mencampurkan air dan minyak di dalam satu bekas untuk mengharapkan sesuatu natijah yang baik akan tetapi bukan kesan baik yang diperolehi sebaliknya kesan buruk yang dapat dihasilkan. Akhirnya masalah terus berlaku, yang rosak bertambah, bangsa, negara dan agama yang menerima kesan buruk tersebut.

LUPA KEPADA AL-QURAN HADIS

Setiap kali berlakunya masalah yang melanda umat Islam, muncullah pemikir dikalangan umat Islam sama ada daripada pemimpin politik, NGO, Prof atau pun ahli akademi akan tetapi setiap kali mereka memberikan buah fikiran semuanya lupa kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Seolahnya mereka tidak pernah mengenali al-Quran dan Sunnah, seolahnya mereka tidak pernah membaca al-Quran dan Sunnah, sebaliknya mereka lebih suka mengambil pendekatan daripada barat untuk memberikan jalan penyelesaian kepada masalah ini. Tidakkah mereka takut nanti di hari akhirat nanti al-Quran dan Sunnah akan berlepas tangan, tidakkah mereka takut apabila mereka masuk di dalam kubur al-Quran dan Sunnah ini akan berlepas tangan kepada mereka yang mengaku beriman kepada al-Quran dan Sunnah.

Kenapa tidak memberikan peluang kepada undang-undang Islam untuk menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi pada masa sekarang. Sebagai umat yang beragama Islam, kita mengaku beriman kepada Allah SWT, kepada Rasulnya kenapa kita tidak membuktikannya dengan melaksanakan syariat Islam. Amat mendukacitakan apabila orang Islam sendiri yang menghalang perlaksanaan syariat Islam di negara kita.

Apa yang pastinya, sekarang terdapat golongan yang tertunggu-tunggu projek untuk melaksanakan projek pendidikan seks di sekolah. Mereka ini ibarat anjing yang sentiasa menjelirkan lidah mereka kerana tidak puas dengan habuan dunia ini. Apa yang mereka tahu ialah duit, tanpa memikirkan masa depan anak-anak orang Islam yang dirosakkan oleh orang Islam sendiri. Amat malang sekali apa yang menimpa kepada umat Islam masa kini. Benarlah apa yang dikatakan oleh seorang Ustaz kepada saya, selepas saya memeluk agama Islam. Janganlah kamu melihat kepada sikap umat Islam sekarang sebagai ikutan akan tetapi lihatlah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, ini kerana umat Islam sekarang bagaikan sampah yang tidak berguna.

No comments:

Post a Comment