Pages

Wednesday 12 January 2011

Khatam Al-Quran dalam Ramadhan, Insya-Allah Mudah Jika Konsisten

Khatam Al-Quran dalam Ramadhan, Insya-Allah Mudah Jika Konsisten

by 'Abdullah Mustaghfir on Friday, 20 August 2010 at 22:45
 
 
'Ibadah membaca Al-Quran merupakan 'ibadah yang sangat mulia. Banyak kelebihan tersedia bagi mereka yang sentiasa mendampingi al-Quran.

Ada pernah dikhabarkan kepada kita: "Hati yang berkarat boleh dibersihkan, dirawat dengan bacaan Al-Quran."

Al-Quran merupakan kalamullah yang terjamin dipelihara hingga hari kiamat. Setiap satu huruf yang dibaca daripadanya insya-Allah akan memberikan pahala kepada pembacanya daripada serendah-rendah 10 pahala hingga ke 700 pahala ataupun lebih. (kerana sifat Maha Kaya Allah, Maha Memberi Allah, kekayaan Allah tidak pernah berkurangan, Dia berhak memberikan sesuatu kurniaan kepada hamba-Nya tanpa hitungan).

Oleh sebab yang demikian, dari kaca mata sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terbukti perkara ini menjadi satu tawaran hebat yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Tambahan pula, bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan Al-Quran. Ibadah membaca Al-Quran sepanjang waktu ini pasti memberikan ganjaran pahala berganda-ganda dan keberkatan yang banyak.

Apa sasaran kita dalam ibadah membaca Al-Quran sepanjang Ramadhan?

Insya-Allah kita nak habiskan (khatam) keseluruhan Al-Quran pada bulan mulia ini.

Nampak macam susah nak tamatkan kesemuanya?

Ya, benda yang banyak jika nak dibuat sekali gus memang terasa sangat berat dan susah. Di sinilah datang petua 'divide and conquer' (bahagi dan kuasai) yang sedikit sebanyak membantu memudahkan usaha kita.

Insya-Allah, bulan Ramadhan pada kebiasaannya ada sebanyak 30 hari. Maka setiap hari kita peruntukkan satu juzuk (keseluruhan al-Quran ada 30 juzuk).

Jika menggunakan teks yang guna rasm Utsmani, satu juzuk ada dalam 20 muka surat. Maka kita bahagikan lagi kepada lima waktu solat yang ada dalam sehari. Jadi, kita perlu baca 4 muka surat untuk setiap waktu solat fardhu.

Nak ringan lagi?

Kita pecahkan lagi kepada sebelum dan selepas setiap solat fardhu kita baca dua muka surat.

Insya-Allah, sama-sama kita sentiasa menyucikan niat dalam hati, ditujukan semata-mata untuk keredhaan Allah Ta'ala.

Pada masa yang sama, kita sentiasa berdoa semoga Allah memberikan kepada kita kemudahan, kekuatan dan keberkatan dalam beribadah kepada-Nya.

Mudah-mudahan setiap 'amalan kita diterima oleh Allah. Insya-Allah, kita akan khatam bacaan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadhan ini.

* Apa yang lebih baik untuk dilaksanakan?

- Membaca al-Quran dalam keadaan disemak oleh sahabat-rakan yang lain, untuk memastikan kesalahan dan kesilapan dapat dibetulkan.

- Cuba sedikit sebanyak mengambil tahu terjemahan, pengajaran dan penghayatan mana-mana ayat Al-Quran bagi setiap juzuk.

Selamat beramal kerana Allah,

Al-Faqir wal Haqir ilaLlah,

'Abdullah Mustaghfir
Adelaide, Australia.

No comments:

Post a Comment